Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic tuntut aksi bertenaga

mehmet.jpg
Aksi bertenaga ketika menewaskan PKNP FC 4-0 dalam Liga Super, tiga hari lalu, dituntut ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, daripada anak buahnya apabila kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

"Saya berharap pemain mampu mengulangi persembahan mantap seperti tiga hari lalu.

"Saya amat berpuas hati dan gembira dengan kejayaan itu. Sudah lama saya tidak melihat persembahan penuh berdisiplin seperti itu.

"Setiap pemain memberikan sumbangan dan komitmen tinggi untuk menghasilkan kejayaan.

"Jika itu mampu dilakukan, tidak ada sebab untuk tidak pulang membawa bekalan selesa bagi pertembungan kedua di Ipoh nanti," katanya.

Dalam aksi 'derby' di antara dua pasukan senegeri itu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu lalu, Perak yang selama ini hambar menunjukkan kehebatan mereka melalui dua jaringan dalam setiap babak.

Dua gol daripada Gilmar Jose Da Silva serta masing-masing satu daripada Brendan Gan dan Shahrul Saad membolehkan anak buah Durakovic itu melakar kemenangan kedua setakat ini.

Mengenai pertemuan malam esok, jurulatih itu belum pasti siapa yang akan diturunkan kerana dia kini dapat menurunkan semua pemain pilihannya.

"Semua boleh diturunkan kecuali yang mengalami kecederaan ringan.

"Apapun, saya perlu menunggu sehingga ke saat-saat akhir sebelum membuat keputusan siapa yang akan bermain," ujarnya. 

Advertisement

Must Watch Video