PIALA FA
Durakovic: Mengapa perlu ubah cara permainan Leandro?
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mahu pemain tengahnya, Leandro dos Santos, kekal dengan watak 'antagonis' untuk memastikan The Bos Gaurus menamatkan kemarau 15 tahun kejuaraan Piala FA.
Leandro sememangnya dikenali sebagai pemain yang cukup mahir dalam memberikan gangguan emosi kepada pemain lawan.
Walaupun kelihatan amat keji di mata penyokong, gaya permainan pemain dari Brazil itu telah terbukti berkesan.
Iklan
Ia menerusi kejayaannya memenangi Piala Malaysia bersama Perak tahun lalu dan bersama Selangor pada 2015 selain menewaskan Pahang dalam separuh akhir Piala FA musim ini.
Justeru, tidak hairan perwatakan 'jahat' Leandro terus ditagih Durakovic kali ini bagi misi meraih gelaran Piala FA.
"Mengapa perlu saya mengubah cara permainan Leandro? Jika ia adalah salah, pengadil akan memberikan kad kuning. Itu adalah caranya bermain bola sepak dan saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan cara Leandro," katanya.
Ketika kelibat Leandro ditagih, Durakovic bagaimanapun masih belum mempunyai bayangan kesebelasan utamanya bagi pertemuan menentang Kedah dalam perlawanan akhir, Sabtu ini.
Durakovic mengakui sukar membuat keputusan mengenai perkara itu apabila semua pemainnya menunjukkan komitmen tinggi untuk beraksi.
"Sukar untuk saya membuat keputusan apabila setiap pemain di tahap terbaik untuk beraksi. Saya akan meneliti prestasi setiap pemain dan bakal membuat keputusan untuk menurunkan kesebelasan terbaik berdepan Kedah," katanya.
Must-Watch Video