Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic mahu Perak gunakan kelebihan sebaik mungkin

perak.jpg
Perak perlu memastikan kelebihan bermain di laman sendiri dimanfaatkan sebaik mungkin menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang PKNS esok meskipun rekod pertemuan lebih memihak kepada pasukan lawan.

Perak serta PKNS sudah bertemu empat kali musim ini, dua daripadanya aksi Liga Super serta dua lagi perlawanan di peringkat suku akhir Piala FA.

Begitupun, kelebihan sebagai tuan rumah dalam aksi itu tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin apabila gagal memperoleh kemenangan.

Lantas, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, enggan melihat kisah serupa berulang sambil menaruh harapan tinggi tiada lagi kesilapan mudah dilakukan pemain-pemainnya.

"Ini perlawanan penting buat Perak di laman sendiri. PKNS memiliki barisan pemain tempatan yang berkualiti dan kami mahu memastikan kemenangan berjaya diraih," katanya.

Sandaran utama skuad The Bos Gaurus sudah pasti kepada keberkesanan penyudah tonggak import, Gilmar da Silva, yang memperoleh jaringan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Terengganu FC (TFC) serta Felcra.

Tiada masalah kecederaan serius dalam kem Perak, hanya keadaan padang di Stadium Perak, Ipoh sedikit merisaukan Durakovic kerana gelanggang itu ditutup sementara untuk penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) tempoh hari.

"Kami tidak sabar untuk beraksi di sini. Kemenangan akan memberikan kelebihan buat Perak menghadapi aksi suku akhir kedua nanti," katanya.

Advertisement

Must Watch Video