Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic gembira prestasi Shahrel

shahrel.jpg
Mehmet Durakovic gembira apabila Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan gol yang membantu kemenangan 2-1 Perak ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Ipoh, semalam.

"Saya gembira dengan kejayaan itu. Dia baru kembali daripada kecederaan tetapi berusaha gigih sepanjang perlawanan.

"Kesungguhannya itu berbaloi dengan menghasilkan gol yang membantu Perak ke pusingan ketiga," katanya.

Jurulatih itu turut memuji persembahan Nazirul Naim Che Hashim, yang berjaya menjaringkan gol pendahuluan buat skuad The Bos Gaurus itu.

"Nazirul pemain yang rajin. Dia akan naik dan turun. Saya tidak terkejut dengan jaringannya itu kerana dia sudah biasa menjaringkan gol untuk Perak.

"Kami boleh berharap kepadanya untuk menghasilkan gol," katanya.

Durakovic turut memuji J. Partiban yang menambah "sengat" di jentera serangan Perak apabila dimasukkan dalam babak kedua.

Pemain itu menggunakan kelincahannya untuk merobek benteng lawan serta membuat hantaran silang berbahaya, termasuk yang disempurnakan Shahrel pada minit ke-78.

Dalam perlawanan malam tadi, seperti kebiasaan, penyerang utama Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho, terus mengalami kemarau jaringan biarpun berpeluang menjaringkan gol.

Begitupun, Durakovic tidak mahu menyalahkan anak buahnya itu walaupun hakikatnya dia beraksi di bawah tahap sebenar.

"Kami bermain dengan baik dan menguasai perlawanan.

"Pemain mencipta peluang tetapi malangnya gagal disudahkan. Kami sepatutnya menang dengan lebih selesa.

"Apapun, menang tetap menang kerana ia perlawanan kalah mati dan memang sukar," katanya.

*Kredit foto: Perak TBG

Advertisement

Must Watch Video