Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic enggan ratapi kekalahan kepada Felcra

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tarcisio-pugliese.jpg
Gagal menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia 2018 tidak menghalang misi Felcra FC untuk menamatkan aksi terakhir Kumpulan A dengan kemenangan selepas menundukkan Perak 2-1, malam tadi. 

Kedua-dua pasukan bermula seimbang dalam babak pertama dengan masing-masing berbalas serangan untuk memburu gol pembukaan. 

Felcra dilihat begitu menginginkan kemenangan walaupun sedar peluang ke suku akhir sudah pun terkubur. 

Percubaan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-38 menerusi ledakan Dzulfahmi Abdul Hadi. 

Perak cuba menyamakan kedudukan tetapi kekuatan benteng pertahanan Felcra menafikan percubaan mereka. 

Percaturan pengendali Perak, Mehmet Durakovic, dalam babak seterusnya tampak lebih menjadi untuk terus merapatkan jurang. 

Pada minit ke-76, benteng tuan rumah tewas kepada tandukan Gilmar Jose Da Silva untuk Perak akhirnya mengikat kedudukan 1-1.

Namun, keceriaan pasukan pelawat tidak lama apabila Felcra membalas jaringan menerusi Abdul Azim Rahim berselang seminit. 

Perak terus mengasak untuk mengejar dengan sepakan tepat ke arah gawang oleh Muhammad Firdaus Saiyadi tetapi ditepis Mohamad Fadzley Abdul Rahim (m-79).

Felcra yang selesa di depan enggan kempunan pada saat-saat akhir dengan mengukuhkan barisan pertahanan sebelum Perak akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan. 

"Kami tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain import selain kehilangan beberapa tonggak tempatan. 

"Shahrom Kalam pula tidak berasa sihat pada penghujung separuh masa pertama. 

"Jadi, ia satu perlawanan sukar buat kami dan saya gembira dengan tiga mata yang dipungut," kata ketua jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese.

Bagi ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, pula: "Kami mencipta deretan peluang tetapi ia bukan malam kami. 

"Kami akan pulang dan memberi fokus untuk aksi suku akhir nanti."

Advertisement

Must Watch Video