Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic bangga dengan mentaliti pemain

mehmet-durakovic.jpg
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berbangga dengan mentaliti anak buahnya yang tidak hanyut dengan kekalahan di pentas final Piala FA bulan lalu apabila menewaskan Sabah 3-0 dalam aksi pertama Piala Malaysia di Ipoh, semalam.

The Bos Gaurus turun berdepan Sabah dengan situasi sukar susulan kekalahan 0-1 kepada Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Julai lalu.

Namun, kekecewaan itu nyata bukan untuk ditangisi, sebaliknya dijadikan pembakar semangat untuk mereka menewaskan Sabah.

Ia sememangnya satu permulaan baik buat The Bos Gaurus untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

"Saya amat gembira kerana kami tidak dibolosi dan pertahanan telah melakukan tugas yang amat baik malam ini.

"Ia bermula dari depan, kami bertahan dari depan dan semua pemain telah melaksanakan tugas masing-masing.

"Seperti yang saya katakan, ia amat baik untuk tidak dibolosi, terutama di laman sendiri.

"Jaringan amat penting dan kami menjaringkan tiga gol malam ini.

"Saya amat berpuashati dengan persembahan seperti itu," katanya.

Durakovic turut menyifatkan kejayaan menundukkan skuad Tambadau itu sebagai bekalan terbaik untuk melalui ujian getir bertemu Pahang dalam perlawanan berikutnya, Khamis ini.

Sementara itu, pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui aksi buruk pemainnya dipengaruhi sejarah kekalahan besar kepada The Bos Gaurus musim lalu.

Ketika itu, Sabah, yang berentap dengan Perak dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, dilanda mimpi ngeri apabila dibelasah 0-5.

"Perak sebenarnya tidak terlalu kuat bagi kami tapi mungkin ia salah satu kesan psikologi di mana tahun lalu kami kalah dengan begitu besar.

"Mungkin hari ini, mereka (pemain) sedikit terbawa-bawa walaupun cuba bangkit dan membuktikan kami sebenarnya memiliki kemampuan," katanya.

Jelius, bagaimanapun, berharap kekalahan itu segera dilupakan dan perlu ditebus dengan keputusan positif apabila menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Rabu ini.

"Hari ini, banyak kelemahan yang kami nampak.

"Kami perlu belajar banyak daripada pasukan Perak untuk menghadapi Pulau Pinang pada tiga hari yang akan datang ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video