Skip to main content

Bola Sepak

Dua pemain Korea dijangka perkuat Sabah

17517sabah.jpg
Sabah hampir pasti mengikat dua pemain dari Korea Selatan, termasuk bekas penyerang berbisa Pulau Pinang, Lee Gil Hoon, selepas mereka dilaporkan menjalani pemeriksaan kesihatan, semalam.

Gil Hoon bersama rakan senegaranya, Heo Jaen Yeong, yang boleh beraksi di posisi tengah serta pertahanan, dikatakan telah memikat pengendali Sabah, Jelius Ating, dalam sesi ujian pemilihan di Kota Kinabalu sejak minggu lalu.

"Dua pemain ini antara yang paling menyinar berbanding pemain import lain sejak ujian pemilihan diadakan minggu lalu.

"Saya juga telah berbincang dan mencadangkan kepada pihak pengurusan. Difahamkan rundingan berkaitan kontrak mereka kini sedang berjalan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Likas, petang tadi.

Gil Hoon, 34, pernah menjadi penjaring terbanyak Pulau Pinang dengan 24 gol pada musim 2014.

"Dia (Gil Hoon) pernah beraksi bersama kelab Hong Kong, Biu Chun Glory Sky, kelihatan cergas walaupun sudah berusia. Dia begitu agresif dan antara pemain paling menyerlah," katanya.

Sementara itu, Jaen Yeong, 24, yang sebelum ini beraksi bersama kelab Thailand, Muang Thong United, dijangka mampu menggerakkan bahagian tengah skuad Badak selain boleh beraksi di posisi pertahanan.

"Jaen Yeong boleh bermain di bahagian pertahanan dan ia adalah satu bonus kepada kami kerana bukan saja kekurangan penjaring tetapi juga pertahanan.

"Apa yang saya tertarik dengan pemain ini juga ialah mereka mampu mewujudkan hubungan baik dengan pemain sedia ada, itu adalah sangat penting bagi kami," katanya.

Dalam pada itu, kemasukan dua pemain itu dalam pasukan Sabah dijangka bakal menunjukkan jalan keluar buat pemain import Sabah dari Jepun, Masaya Jitzono.

Ini kerana Jelius difahamkan sedang mencari seorang lagi penyerang import untuk kuota bukan Asia.

Dalam perkembangan berkaitan, kini hanya tinggal dua pemain import yang masih menyertai sesi ujian pemilihan, iaitu Ashkanov Spollon dari Amerika Syarikat dan Bratislav Puanesewac dari Serbia.

Advertisement

Must Watch Video