Skip to main content

Bola Sepak

Dua ledakan Eriksen benam Wales

christianeriksen-cropped_1hzncfr3t802z1s75jizkqyf43.jpg
DENMARK 2 WALES 0

Christian Eriksen memusnahkan harapan Wales yang bertandang ke Ceres Park apabila menjaringkan kedua-dua gol tatkala Denmark mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi Liga B, Kumpulan 4, Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.


Wales yang dikendalikan oleh Ryan Giggs menundukkan Ireland 4-1 dalam aksi pertama sebelum ini, namun sewaktu berdepan Denmark yang dalam keadaan segar selepas menyelesaikan isu tajaan, mereka jelas hilang punca.

Bintang Wales, Gareth Bale, memakai lilitan ketua pasukan tetapi gagal memberikan impak ke atas tuan rumah sambil Eriksen mencatat dua gol hebat menerusi rembatan dalam babak pertama dan sepakan penalti selepas rehat.

Denmark menggunakan kesempatan hasil daripada kesilapan pelawat yang gagal menggunakan dua peluang keemasan, memberi pengajaran di peringkat antarabangsa buat lawan yang mempertaruhkan barisan muda seperti Ethan Ampadu.

Thomas Delaney dan Bale melepaskan rembatan kaki kiri yang tersasar sebelum setengah jam permainan, namun Eriksen jelas lebih unggul apabila meraih peluang.

Bintang Tottenham Hotspur itu mengutip bola dalam kawasan penalti hasil hantaran lintang Pione Sisto dari sebelah kanan sebelum rembatan kaki kanannya melepasi jangkauan Wayne Hennessey.

Wales memulakan separuh masa kedua dengan persembahan lebih bertenaga, namun mereka bernasib baik apabila Martin Braithwaite mensia-siakan peluang walaupun melepasi halangan Chris Mepham di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Eriksen sekali lagi menyempurnakan peluang yang hadir buatnya. Ampadu dipersalahkan oleh pengadil selepas bola hantaran lintang Viktor Fischer mengenai tangannya dan Eriksen tenang menolak masuk bola sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan buat tuan rumah.

Delaney dan Eriksen hampir menambah jaringan buat Denmark pada minit-minit akhir permainan tetapi Hennessey sempat menggunakan tangan untuk memastikan gawang tidak dibolosi buat kali ketiga.

Advertisement

Must Watch Video