BUNDESLIGA
Dua gol Sancho beri Bayern tekanan
BORUSSIA DORTMUND 2 MAINZ 1
Borussia Dortmund kembali ke puncak Bundesliga selepas menewaskan Mainz 2-1 di Signal Iduna Park menerusi dua gol daripada Jadon Sancho, awal pagi tadi.
Bayern Munich menguasai kedudukan teratas Bundesliga selepas menewaskan skuad kendalian Lucien Favre itu 5-0 hujung minggu lalu, namun Dortmund kembali memintas pasukan bimbingan Niko Kovac itu yang akan berdepan Fortuna Dusseldorf, malam ini.
Iklan
Pemain kebangsaan England, Sancho, memaparkan aksi luar biasa untuk menjaringkan dua gol dari jarak dekat dalam tempoh 24 minit pertama perlawanan.
Mainz memberikan respons menerusi dua percubaan Karim Onisiwo yang terkena palang sebelum Robin Quaiso merapatkan kedudukan pada tujuh minit terakhir perlawanan.
Dortmund mengekalkan penguasaan mereka sehingga tamat perlawanan untuk terus memberikan tekanan buat Bayern dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini.
Percubaan awal Jacob Bruun Larsen dinafikan oleh penjaga gol Mainz, Florian Muller, sebelum Sancho menemui gol pertama pada minit ke-17 dengan pemain berusia 19 tahun itu melakukan voli separa dari jarak lapan ela hasil hantaran lintang Mario Gotze.
Berselang 10 minit, Sancho menggandakan jaringan itu selepas memanfaatkan hantaran lintang Thomas Delaney untuk melepaskan rembatan yang terbias ke badan Moussa Niakhate.
Pelawat tidak mudah mengalah dengan Osiwo hampir merapatkan jurang dengan sungkitan yang terkena palang.
Mainz meneruskan asakan mereka dalam babak kedua, namun tiang gol sekali lagi menafikan hajat Osiwo selepas sejam perlawanan berlangsung.
Pemain gantian, Quaison, merapatkan kedudukan pada minit ke-83 menerusi penyudah jarak dekat dan Mainz hampir merampas satu mata andai penjaga gol Dortmund, Roman Burki, tidak bertindak tangkas bagi menafikan tiga percubaan berturut-turut Anthony Ujah.
Must-Watch Video