Skip to main content

Bola Sepak

Dua gol Koulibaly tunda kejuaraan Juventus

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kalidoukoulibaly.jpg
CHIEVO 1 NAPOLI 3

Napoli menunda kejuaraan Juventus dalam Serie A selepas jaringan daripada Kalidou Koulibaly dan Arkadiusz Milik memastikan kemenangan 3-1 pasukan itu ke atas Chievo -- yang tersingkir ke Serie B musim depan -- di Verona, awal pagi tadi.


Kekalahan 1-2 Juve kepada SPAL, kelmarin, mengekalkan pendahuluan 20 mata mereka di puncak liga dengan hanya berbaki enam perlawanan musim ini.

Andai Napoli gagal menewaskan Chievo, skuad kendalian Massimiliano Allegri itu akan mengesahkan kejuaraan liga kelapan berturt-turut musim ini.

Koulibaly menanduk masuk gol pembukaan pelawat pada 15 minit pertama di Stadium Marcantonio Bentegodi dengan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu kekal membimbing perlawanan sehingga Milik menjaringkan gol dari jarak 20 ela menjelang setengah jam terakhir perlawanan.

Koulibaly menjaringkan gol peribadi kedua tidak lama selepas itu sebelum Chievo memperoleh jaringan sagu hati menerusi  Bostjan Cesar dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu secara matematik menghidupkan peluang Napoli untuk mengejar Juve, namun berdasarkan prestasi semasa pasukan yang berpangkalan di Turin itu, Napoli hampir pasti menjadi pasukan kedua terbaik musim ini.

Koulibaly, yang menjadi mangsa ejekan perkauman di Arsenal dalam saingan Liga Europa minggu lalu, menanduk masuk bola sepakan penjuru Dries Mertens pada minit ke-15.

Vlad Chiriches terlepas peluang untuk menggandakan kelebihan itu menerusi tandukan yang tersasar, namun Chievo juga gagal memanfaatkan kesempatan untuk menghukum kegagalan tersebut.

Keadaan semakin sukar buat tuan rumah apabila Milik melepaskan rembatan rendah dari jarak 20 ela yang tepat menuju ke penjuru kiri gawang Chievo.

Jose Callejon melakukan voli separa pada 20 minit terakhir perlawanan, namun ia ditepis keluar penjaga gol Chievo, Stefano Sorrentino.

Koulibaly tidak lagi dapat dihalang apabila memaparkan penyudah kaki kiri berbisa dari jarak dekat pada minit ke-81.

Kapten Chievo, Cesar, menanduk masuk bola sepakan percuma pada penghujung aksi sebagai akur menuju ke Serie B musim depan.

Advertisement

Must Watch Video