Skip to main content

Bola Sepak

Dua gol Kane pastikan kemenangan Spurs

harry-kane.jpg
HUDDERSFIELD 0 TOTTENHAM 2

Harry Kane menjaringkan dua gol buat Tottenham bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.


Kane menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang sama pada musim lalu ketika meraih kemenangan 4-0 tetapi skuad kendalian Mauricio Pochettino itu mengulanginya musim ini.

Spurs beraksi tanpa Christian Eriksen, Dele Alli dan Hugo Lloris ekoran kecederaan tetapi Kane bertindak cemerlang dengan menanduk masuk gol pertama sebelum memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti.

Huddersfield berada di kedudukan tercorot dengan skuad bimbingan David Wagner itu masih lagi menunggu jaringan sulung di laman sendiri musim ini manakala Spurs mendaki ke tangga keempat.

Kane memiliki peluang untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-10 tetapi Jonas Lossl cemerlang menafikan percubaan kapten England tersebut.

Ruang Huddersfield sentiasa terbuka menerusi hantaran jauh yang dilakukan lawan. Ia sekali lagi menghukum mereka apabila Kane menanduk masuk umpanan Kieran Trippier menerusi hantaran silang.

Penjaga gol Tottenham, Paulo Gazzaniga, berada dalam prestasi cemerlang dengan menolak keluar percubaan jarak jauh Chris Lowe dan Spurs berjaya menggandakan jaringan.

Pochettino mengeluarkan Jan Vertonghen dan Mousa Dembele pada separuh masa, dengan meletakkan sasaran untuk mencipta kejutan ketika berdepan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Khamis ini.

Advertisement

Must Watch Video