Meskipun menang tipis ke atas Selangor ketika aksi Liga Super pada Sabtu, pengendali Perak, Karl Heinz Weigang, tetap tidak berpuas hati dengan prestasi pemainnya.
Perak bernasib baik kerana berjaya mencuri tiga mata hasil daripada kesilapan pemain import Selangor, Ugo Ukah, yang menajaringkan gol sendiri.
Namun, kemenangan di gelanggang lawan tidak sedikit pun menggembirakan pengendali Jerman berusia 81 tahun ini.
Dia kecewa pemainnya tidak memanfaatkan peluang yang terhidang dan Perak seharusnya boleh menambah sekurang-kurangnya empat jaringan lagi .
"Kami tidak bermain langsung, ini bukan bola sepak. Kedua-dua pasukan bermain bola sepak kampung walaupun mereka ini pemain profesional yang telah dibayar gaji," jelasnya.
Pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, tetap memuji aksi anak buahnya biarpun tewas.
Namun, Gunalan tetap tenang dan optimis pemainnya akan bangkit menjelang separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang T-Team, 1 Oktober nanti.
"Kami tidak bolos banyak, hanya satu gol kerana barisan pertahanan agak ampuh hari ini.
"Cumanya kami agak longgar di bahagian tengah dengan ketiadaan Veenod.
"Saya tidak boleh kata berpuas hati dengan keputusan ini kerana kami tewas, tetapi saya rasa pemain telah berikan yang terbaik," ujarnya.