Skip to main content

Bola Sepak

"Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung: Memartabatkan kembali sukan, menjunjung undang-undang”

hadafi.jpg
Isu yang sedang tular berkaitan laporan FIFA mengenai pemain warisan wajar dilihat dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Walaupun laporan tersebut membawa perasaan rasa kecewa, kita harus menyedari bahawa setiap perancangan besar sering melalui fasa ujian dan pembetulan. Mungkin inilah satu langkah strategik awal untuk menaikkan imej dan daya saing pasukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam konteks globalisasi sukan, penggunaan pemain warisan bukanlah sesuatu yang asing. Banyak negara membina kekuatan awal mereka dengan memanfaatkan bakat diaspora yang mempunyai akar keturunan dari negara tersebut. Malaysia juga mungkin mengambil langkah yang sama – sebagai permulaan untuk mempelbagaikan corak permainan, meningkatkan tahap profesionalisme dan membawa inspirasi baharu dalam bola sepak tempatan.

Strategi ini tidak semestinya menggugat semangat nasionalisme, bahkan boleh menjadi jambatan ilmu antara pemain tempatan dan pemain warisan. Apabila pemain tempatan berlatih dan bermain bersama mereka yang mempunyai pengalaman luar, secara tidak langsung gaya permainan, disiplin, dan teknik moden dapat diserap ke dalam DNA bola sepak negara. Ia merupakan proses pembelajaran yang amat berharga bagi generasi baharu pemain Malaysia.

Setelah pasukan negara menjadi lebih kukuh dan matang, sudah tentu hala tuju akan kembali kepada pembangunan akar umbi dan pengukuhan pemain tempatan sepenuhnya. Inilah fasa seterusnya yang akan memastikan Malaysia berdiri megah di atas kekuatan sendiri. Pemain tempatan akan menjadi pewaris kepada sistem latihan dan budaya permainan yang di bina. Pelbagai usaha telahpun dilakukan seperti menghantar bakat muda negara berlatih luar negara, namun seringkali kita gagal. 

Bagaimanapun, kita juga harus bersikap adil dan realistik. Pemalsuan dokumen (jika benar berlaku) adalah satu kesalahan undang-undang yang tidak boleh dipandang ringan. Undang-undang kerakyatan perlu dihormati sebagai lambang kedaulatan sesebuah negara. Ia bukan sekadar soal bola sepak, tetapi juga soal integriti dan maruah pentadbiran negara. Fokus utama adalah memperkukuh semula sistem pentadbiran dan memperkemas prosedur yang lebih telus.

Dalam menghadapi isu ini, rakyat Malaysia wajar mengekalkan sikap rasional. Kekecewaan tidak boleh diterjemahkan kepada kemarahan yang membuta tuli. Sebaliknya, inilah masa untuk kita menilai semula sistem, memperbaiki kelemahan, dan memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan. Setiap cabaran membawa hikmah tersirat untuk kemajuan yang lebih kukuh. Apa  yang kita boleh belajar, ada pemain kita iaitu Arif Aiman sehebat pemain warisan dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

Pasukan bola sepak Malaysia harus terus disokong, kerana di sebalik kontroversi ini, semangat juang pemain dan jurulatih tempatan tidak pernah luntur. Mereka tetap berusaha membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Apa yang penting ialah semangat “satu pasukan, satu hati” terus dikekalkan. Malaysia harus melangkah ke hadapan dengan prinsip integriti, semangat juang tinggi, dan tekad untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan sehebat Allahyarham Mokhtar Dahari.

Akhirnya, kita perlu mengingat semula pepatah lama – di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Malaysia ialah tanah yang kita cintai, dan setiap individu yang bermain di bawah panji Jalur Gemilang mesti menjunjung tinggi undang-undang serta budaya negara ini. Hormatilah undang-undang dan semaikan semangat perpaduan dalam setiap langkah perjuangan sukan kita. Dengan niat yang tulus dan semangat kesukanan yang murni, isu ini pasti akan menjadi pengajaran berharga ke arah masa depan bola sepak Malaysia yang lebih bermaruah dan disegani.
 
Harimau Malaya

Satu Semangat, Satu Jersi

Tunjukkan kebanggaan anda bersama skuad negara dengan jersi Harimau Malaya.


Dapatkan Sekarang

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found