Skip to main content

Bola Sepak

DFB-Pokal: Reyna jadi penjaring gol termuda dalam sejarah

gioreyna.jpg
WERDER BREMEN 3 BORUSSIA DORTMUND 2

Pemain remaja Borussia Dortmund, Gio Reyna, menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah DFB-Pokal awal pagi tadi.


Reyna, 17, melakar sejarah itu menerusi gol daripada larian solo gemilangnya walaupun Dortmund kecundang 2-3 kepada Werder Bremen dalam perlawanan pusingan ketiga di Weserstadion itu.

Pemain sensasi Amerika Syarikat itu -- yang dimasukkan dalam babak kedua -- menerima bola daripada luar kawasan penalti dan melepasi kawalan dua pemain lawan sebelum melepaskan sepakan lencong ke penjuru atas.

Jaringan Reyna pada minit ke-78 itu tidak dapat menghalang kemenangan Bremen, yang mendahulu 2-0 sebelum Erling Haaland mengecilkan jurang itu menerusi gol kelapannya daripada empat perlawanan sejak menyertai Dortmund.

Gol pada minit ke-67 itu hanya memberikan harapan selama tiga minit sebelum Bremen mengembalikan kelebihan dua gol mereka.

"Aksi dalam babak pertama amat buruk. kami kekurangan rentak dalam permainan," kata pengurus Dortmund, Lucien Favre.

"Kami lambat untuk mendapatkan bola dan melakukan terjahan yang buruk.

"Disingkirkan seperti ini sesuatu yang amat mengecewakan buat kami semua.

"Ia amat memalukan.

"Kami memiliki tiga atau empat peluang terbaik pada penghujung permainan dan boleh menamatkannya dengan objektif kami," katanya.

Pertahanan Dortmund, Mats Hummels, menambah: "Kami tidak memiliki keberanian yang mencukupi dalam permainan separuh masa pertama, di mana ia sesuatu yang kami perlukan jika mahu mencari ruang dari bawah.

"Ia memudahkan Werder dan apabila anda menambahnya dengan kesilapan sewaktu bertahan, yang menjadi punca kepada gerakan gol mereka, ia bermakna kami memberikan mereka inisiatif dalam perlawanan ini.

"Ia jauh daripada persembahan sebenar kami tetapi kami tidaklah bermain dengan buruk secara keseluruhan.

"Kami memiliki peluang yang cukup untuk menyamakan kedudukan.

"Saya fikir keputusannya sangat adil. Tahniah Werder," katanya.


Editor: Muzaffar Musa 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found