Skip to main content

Bola Sepak

DFB-Pokal: Poulsen, Frosberg bawa Leipzig ke final

yussuf-poulsen.jpg
HAMBURG 1 RB LEIPZIG 3

Yussuf Poulsen dan Emil Forsberg meledak gol yang membawa RB Leipzig ke final DFB-Pokal buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Hamburg 3-1 di Volksparkstadion, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Denmark, Poulsen, membuka jaringan buat pasukan Bundesliga itu selain memainkan peranan ketika Vasilije Janjicic terjaring bola ke gawang sendiri selepas Bakery Jatta menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Hamburg tidak dapat menyaingi Leipzig sebaik Frosberg menambah gol ketiga pada 18 minit terakhir perlawanan.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu akan berdepan sama ada Bayern Munich atau Werder Bremen, yang akan bertemu sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan separuh akhir awal pagi esok, dengan aksi final akan berlangsung pada 25 Mei ini.

Leipzig memperoleh jaringan awal selepas Poulsen menanduk masuk bola sepakan penjuru Marcel Halstenberg pada minit ke-12.

Tuan rumah berkemungkinan ketinggalan lebih jauh dalam 15 minit pertama andai percubaan Poulsen dan Marcel Sabitzer tidak terkena tiang menerusi dua percubaan yang hanya berselang empat saat.

Hamburg kemudian menyamakan kedudukan selepas Jatta merampas bola daripada Kevin Kampl untuk menghasilkan sepakan lencong yang menewaskan Peter Gulacsi.

Hanya lapan minit diperlukan skuad kendalian Rangnick itu untuk kembali di depan dalam babak kedua selepas Janjicic tertolak masuk hantaran Poulsen ke gawang sendiri.

Leipzig memutlakkan kemenangan selepas Frosberg merembat kencang bola dari garisan kotak penalti yang sempat terkena palang gol sebelum melantun ke penjuru kiri bawah gawang Julian Pollersbeck.

Advertisement

Must Watch Video