Skip to main content

Bola Sepak

DFB-Pokal: Lewandowski belum puas hati prestasi Bayern

lewandowski.jpg
ENERGIE COTTBUS 1 BAYERN MUNICH 3

Robert Lewandowski berasakan Bayern Munich bukanlah pasukan terbaik dalam kemenangan 3-1 ke atas Energie Cottbus untuk menjulang DFB-Pokal, awal pagi tadi. 


Lewandowski membuka akaun jaringnya musim ini dengan penyudah dari jarak dekat dalam aksi di Stadion der Freundschaft itu, di mana Kingsley Coman dan Leon Goretzka turut mencetak nama selaku penjaring. 

Goretzka mengasari Berkan Taz untuk menghadiahkan penalti yang disempurnakan oleh pemain itu sendiri yang secara tidak langsung membayangi beberapa aksi goyah barisan kendalian Niko Kovac itu.

"Kami telah membuktikan apa yang kami mahu lakukan, saya gembira kami menang," kata Lewandowski.

"Mungkin ini bukan aksi luar biasa daripada kami tetapi kami perlu melaksanakan tugas."

Ketua pasukan, Manuel Neuer, yang menyaksikan pasukannya tewas 0-2 kepada seteru utama, Borussia Dortmund, dalam DFL-Supercup sebelum ini, menganggap pasukannya masih mempunyai ruang untuk diperbaiki sebelum aksi pembukaan Bundesliga menentang Hertha Berlin, awal pagi Sabtu ini. 

"Dalam babak pertama, kami sepatutnya lebih pantas dalam membuat hantaran tetapi apapun, kami sepatutnya berpuas hati (dengan kejayaan ini)," katanya.

"Saya telah bercakap dengan penjaga gol mereka (Lennart Moser) bahawa dia telah beraksi dengan sangat baik dan itulah sebabnya kami gagal menyumbat lebih banyak gol.

"Masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan bukan mudah untuk mengetahui di mana kedudukan anda sebelum liga bermula. Saya positif, kita akan lihat apa yang bakal berlaku kelak."

Lewandowski, yang muncul sebagai penjaring terbanyak Bundesliga buat kali keempat dalam tempoh enam musim terakhir, menambah: "Perlawanan terakhir Bundesliga yang diharungi kami sudah lama berlalu dan sekarang, saya fikir ia akan menjadi malam yang hebat di Munich."

Advertisement

Must Watch Video