Skip to main content

Bola Sepak

Devan congak strategi terbaik hadapi Kedah

pj-city-fc.jpg
Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC (PJ City FC), K. Devan, mengakui dia perlu merangka strategi terbaik bagi menghadapi juara 2017, Kedah, apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pertengahan bulan ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui barisan pemainnya perlu berada di tahap terbaik, terutama daripada segi fizikal menentang skuad Lang Merah itu yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri pada musim ini.

“Di atas kertas, pasukan kami memang berdepan laluan sukar untuk menentang Kedah, apatah lagi Stadium Darul Aman merupakan kubu kuat mereka.

"Saya perlu bersedia untuk merangka strategi berbeza kerana setiap lawan mempunyai ramuan berlainan dan tanggungjawab saya adalah untuk merancang taktikal yang bersesuaian bagi berdepan Kedah,” kata Devan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Sehubungan itu, Devan mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak tertekan walaupun sedar Kedah mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri musim ini.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan pernah bertemu dalam aksi Liga Super 2019 yang menyaksikan Kedah menang 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Dalam pada itu, kapten UKM FC, Asnan Ahmad, menyifatkan pertemuan dengan juara bertahan Piala FA, Pahang, dalam pusingan ketiga di laman sendiri sebagai satu ujian sukar berdasarkan kedudukan skuad Tok Gajah yang kini unggul mendahului carta Liga Super.

“Menentang pasukan berpengalaman seperti Pahang yang mempunyai ramai pemain kebangsaan sememangnya amat sukar tetapi sewaktu berdepan Felda United dalam pusingan ketiga musim lepas, kami juga mampu berikan tentangan sebelum mereka menang 2-1.

“Namun, kami juga hanya ingin bersikap realistik dan sudah pasti kemenangan akan dianggap satu bonus buat pasukan kecil seperti UKM FC,” kata Asnan.

UKM FC mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menewaskan pasukan amatur, Protap FC, 5-1 manakala Pahang pula menang bergaya 4-0 ke atas satu lagi pasukan amatur, PIB FC.

-- BERNAMA

 

 

 

Advertisement

Must Watch Video