Skip to main content

Bola Sepak

Derby Madrid: Atletico ikrar terus berjuang selepas diatasi Real Madrid

simeone.jpg
REAL MADRID 2 ATLETICO 0 

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menegaskan juara bertahan itu tidak akan berputus asa dalam misi mempertahankan kejuaraan LaLiga selepas tumbang 0-2 kepada Real Madrid dalam pertembungan 'derby'.


Madrid mempamerkan aksi hebat dalam perseteruan sekota itu hasil jaringan Karim Benzema dan Marco Asensio di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. 

Benzema membuka jaringan dengan penyudah hebat pada minit ke-16 sebelum Asensio menggandakan kedudukan ketika aksi di ibu negara Sepanyol itu menghampiri tanda sejam.

Keputusan itu meletakkan Madrid di hadapan dengan lapan mata di puncak dan 13 mata di depan Atletico -- mempunyai satu perlawanan di dalam tangan -- yang menduduki tangga keempat. 

Bagaimanapun, Simeone yang menjulang dua gelaran liga bersama Atletico belum sedia mengangkat bendera putih. 

"Jelas sekali perlumbaan merebut kejuaraan ini masih bernyala," katanya kepada pemberita. 

"Masih ada banyak perlawanan lagi tetapi ketika ini jelas Real Madrid mempunyai pendahuluan yang sihat.

"Ia satu penghargaan kepada mereka. Tetapi kami sedar bagaimana liga Sepanyol berfungsi. Ia rumit, ia panjang dan kami tidak boleh membiarkan diri kami berputus asa dan berfikir lebih jauh ke hadapan berbanding lawan kami yang seterusnya, iaitu Real Betis.

"Kami masih ada kelebihan satu lagi perlawanan dan kami perlu menggunakannya untuk merapatkan jurang dengan pasukan teratas. Kami tidak boleh memikirkan perkara lain selain daripada itu."


 

Mengenai kekalahan kepada Madrid kendalian Carlo Ancelotti, Simeone menambah: "Saya fikir ia adalah satu perlawanan yang seimbang sehingga gol pertama menjelma.

"Madrid sangat klinikal di depan gawang dan kami bertambah baik dalam separuh masa kedua. Kami juga mempunyai peluang tetapi penjaga gol mereka bertindak dengan sangat baik. Dan dari situ, gol kedua mereka benar-benar memberikan satu tamparan buat kami. Saya rasa mereka memang patut menang dan mereka hanya sangat klinikal di depan gol.

"Saya fikir kami sekali lagi bekerja keras dan kami bermain dengan baik yang menyaksikan Geoffrey Kondogbia tampil sebagai pertahanan tengah. Pasukan bekerjasama dengan sangat baik secara kolektif dan kami telah berusaha keras di Portugal. Hari ini, kami dibolosi dengan cara yang menyakitkan kerana ia datang daripada situasi yang kami bincangkan sebagai sebuah pasukan.

"Tetapi Real Madrid sangat bagus dalam serangan balas. Saya sangat suka menonton permainan mereka, mereka bertahan dan bekerja keras. 

"Mereka sangat bagus dalam peralihan yang mirip dengan gaya permainan kami. Jelas sekali Ancelotti merupakan seorang pengurus yang sangat bagus dan dia kembali ke sini untuk melakukan sesuatu itu dengan baik dan kami pernah menyaksikan kejayaannya."

Advertisement

Must Watch Video