Skip to main content

Bola Sepak

Denny: Kami patut pulang dengan tiga mata

img_7685.jpg
Penolong jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da'ail  menganggap rezeki tidak memihak anak buahnya untuk membawa balik tiga mata apabila terikat tanpa jaringan dengan tuan rumah, Kelantan, malam tadi.

Denny juga memuji kesebelasan utama Bujang Senang yang berjaya mengatasi tekanan dan corak permainan agresif yang dipamerkan skuad The Red Warriors (TRW) itu.

"Kami diasak Kelantan dalam separuh masa pertama. Mereka begitu agresif dan ingin mencari kemenangan di gelanggang sendiri.

"Namun, kami berjaya mengimbanginya dalam babak kedua dengan mencipta beberapa peluang keemasan. Malangnya, kami gagal menyudahkannya.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kami berjaya membawa pulang satu mata," ujarnya.

Denny juga menganggap kapten yang juga penyerang utama skuad Bujang Senang, Bobby Gonzales, tidak bernasib baik apabila terlepas sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik menghasilkan jaringan.

"Saya ada bercakap sedikit dengan dia (Bobby) tadi dan mungkin tuah tidak memihak kepadanya untuk menghasilkan jaringan kerana ada percubaan terkena tiang dan tersasar," katanya.

Dalam aksi malam tadi, aksi tangkas penjaga gol Kelantan, Abdul Arif Abdullah, menjadi batu penghalang kepada jentera serangan Sarawak untuk mencipta jaringan, terutama dalam babak kedua.

Keputusan seri tanpa jaringan itu menyebabkan Sarawak terperosok di tangga ke-10 Liga Perdana, kekal dengan sembilan mata.

Advertisement

Must Watch Video