Skip to main content

Bola Sepak

Dembele diketepikan enam bulan

ousmanedembele.jpg
Ousmane Dembele akan diketepikan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan paha, demikian disahkan Barcelona.

Pemain kebangsaan Perancis itu, yang kerap dibelenggu masalah kecederaan, akan terlepas baki perlawanan musim ini dan berkemungkinan besar tidak dapat menyertai skuad negaranya dalam kempen Euro 2020, yang bermula Jun depan.

Barca mengesahkan pada Khamis lalu bahawa Dembele akan menjalani pembedahan itu di Finland selepas pemain sayap berkenaan mengalami koyakan tendon di pinggul kanannya.

Selepas prosedur itu semalam, Barca menjangkakan bekas pemain berbakat Borussia Dortmund itu akan direhatkan sehingga Ogos depan.

Dembele menderita siri kecederaan serius sejak tiba di Barca dengan bayaran pendahuluan €105 juta (RM473.6 juta) pada 2017.

Dia hanya dapat melakukan sembilan penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dengan kali terakhir diturunkan dalam perlawanan menentang bekas kelabnya, Dortmund, 27 November lalu.

Barca dijangka akan diberikan pengecualian khas untuk menandatangani pengganti Dembele walaupun peraturan menetapkan bahawa mereka hanya boleh menandatangani pemain berstatus ejen bebas atau pemain tempatan.

Kecederaan itu juga pasti akan memberikan impak terhadap persediaan Perancis untuk menghadapi Euro 2020.

Dembele merupakan muka tetap dalam skuad juara dunia itu sejak melakukan penampilan pertama pada 2016.

Dia kini kelihatan tidak akan terlibat dalam kejohanan Eropah berkenaan.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found