Skip to main content

Bola Sepak

De Jong sedia teruskan tradisi Cryuff di Barca

de-jong.jpg
Frenkie de Jong gembira untuk berpeluang meneruskan hubungan Barcelona-Belanda sebaik tiba di Camp Nou.

Bekas pemain tengah Ajax itu diperkenalkan sebagai pemain Barca awal pagi semalam dan pemain berusia 22 tahun itu dijangka akan menjadi pemain tonggak kelab itu pada masa akan datang.

Barca mempunyai hubungan rapat dengan Belanda, terutama disebabkan hubungan baik mereka dengan legenda negara itu, Johan Cruyff -- bekas pemain bintang yang mempunyai reputasi selaku ketua jurulatih paling berjaya di kelab Catalan itu dan Ajax.

Tradisi Cryuff itu masih diteruskan dan De Jong yakin dia amat sesuai di Barca disebabkan faktor itu.

Dia berkata: "Belanda dan Barca sentiasa mempunyai hubungan baik dan Barca dan Ajax mempunyai gaya permainan sama disebabkan falsafah Johan Cruyff.

"Ajax dan Barca mahu bermain dengan cara yang sama dan ia amat baik untuk saya."

De Jong membantu Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2018-19 di mana dia mendapat pujian menggunung dan menarik minat kelab-kelab gergasi dunia.

"Impian saya adalah untuk menjadi pemain Barcelona, jadi keputusan untuk datang ke sini amat mudah untuk dilakukan.

"Saya amat gembira dan berbangga.

"Ketika presiden, Josep Maria Bartomeu, datang ke Belanda untuk bertemu saya, ia menunjukkan yang mereka amat mempercayai saya.

"Mereka memberitahu bahawa saya akan menjadi pemain yang amat penting buat kelab ini.

"Semua pemain dalam kelab ini merupakan pemain yang hebat.

"Barca memiliki pemain terbaik dunia dan saya akan membuktikan yang saya boleh menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama di mana saya boleh beraksi dalam setiap posisi tengah," tambahnya.

De Jong amat teruja untuk menjadikan Messi sebagai rakan sepasukannya selepas bintang Argentina itu membawa Barca ke satu aras berbeza sepanjang dekad ini.

"Saya amat gembira dapat beraksi dengan Leo Messi dan tidak sabar untuk memulakannya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video