Skip to main content

Bola Sepak

De Jong belum pasti dapat diturunkan -- Ten Hag

frenkie-de-jong.jpg
Frenkie de Jong masih belum pasti dapat diturunkan ketika Ajax akan berdepan Juventus dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, kata Erik ten Hag.

De Jong terpaksa dikeluarkan ketika Ajax membelasah Excelsior 6-2 dalam Eredivisie ekoran kecederaan paha, kelmarin.

Bagaimanapun, pemain tengah itu disenaraikan dalam kunjungan pasukan itu ke Turin bagi penentuan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.

Ejen yang membawa De Jong menyertai Barcelona musim depan, Ali Dursun, mendedahkan tindakan membawa keluar pemain itu hanyalah sebagai langkah pencegahan dengan berkata kepada De Telegraaf bahawa De Jong akan cergas untuk diturunkan.

Bagaimanapun, Ten Hag menimbulkan keraguan tentang kesediaan De Jong untuk menghadapi Juve menerusi sidang media sebelum perlawanan.

"De Jong masih belum pasti (dapat diturunkan)," kata ketua jurulatih Ajax itu.

"Selepas latihan malam ini, kami akan melihat keadaannya.

"Dia belum menjalani sebarang latihan, namun itu tidak akan menentukan sama ada dia dapat diturunkan atau tidak.

"Kami tidak melakukan penilaian seperti itu.

"Kami melaluinya dari jam ke jam, dari hari ke hari.

"Kami bersedia untuk bertanggungjawab terhadap sebarang risiko.

"Frenkie perlu mendengar sebaik-baiknya terhadap badannya dan menentukan sendiri keputusan.

"Kami sedang berada di laluan yang positif," katanya.

Perlawanan separuh akhir pertama berkesudahan 1-1 selepas David Neres memadamkan kelebihan awal Juve menerusi tandukan Cristiano Ronaldo.

Dalam pusingan terdahulu, Ajax tewas 1-2 kepada Real Madrid di laman sendiri sebelum bangkit dengan kejutan ke atas juara bertahan itu menerusi kemenangan 4-1 di Santiago Bernabeu.

"Juve merupakan pasukan pilihan, terutama selepas keputusan yang mereka peroleh di Amsterdam.

"Jika kami beraksi baik, kami mampu melepasi segala batasan.

"(Massimiliano) Allegri amat berpengalaman dan sudah pasti dia memiliki pendekatan berbeza dalam perlawanan ini.

"Kami perlu memperbaiki perancangan taktikal kami," tambahnya.

Nicolas Tagliafico akan terlepas perlawanan itu ekoran penggantungan, namun Ten Hag enggan memberikan Allegri sebarang gambaran tentang siapa yang akan mengambil alih peranan menyekat gerakan Ronaldo.

"(Noussair) Mazraoui boleh beraksi di posisi itu tetapi (Daley) Sinkgraven juga mampu.

"Kami juga boleh meletakkan (Daley) Blind.

"Kami tidak akan menetapkan mana-mana pemain untuk mengawal Ronaldo.

"Kami tidak akan melakukannya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video