Skip to main content

Bola Sepak

De Bruyne lega bebas kecederaan

debruyne.jpg
Kevin De Bruyne berasa "diberkati" untuk bangkit daripada musim yang dibelenggu kecederaan dengan menjaringkan gol di Wembley bagi membantu Manchester City menjuarai Piala
FA, awal hari ini. 


Pemain kebangsaan Belgium itu mengalami kecederaan ligamen lutut sejak permulaan musim ketika City menjadi pasukan Inggeris pertama menyempurnakan 'treble' domestik dengan memenangi Piala EFL, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

De Bruyne mengalami kecederaan lutut yang kedua ketika City meraih kemenangan 1-0 ke atas Tottenham 20 April lalu, tetapi selepas menjaringkan gol ketiga daripada enam ketika mengatasi Watford dalam final Piala FA, ia mencerminkan kepuasannya kembali ke tahap terbaik.

"Beraksi dalam perlawanan ini adalah satu kebanggaan. Selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Tottenham, saya seperti sudah berputus asa.

"Lima kecederaan dalam setahun sangat banyak. Tetapi saya berjaya pulih, kembali bersama pasukan dan membantu mereka memenangi gelaran dalam aksi terakhir musim ini.

"Saya berasa seperti diberkati dan berjaya menunjukkan kepada semua bahawa saya masih lagi mampu menampilkan kualiti yang sama," ujarnya.

Bernardo Silva senada dengan De Bruyne mengenai cabaran musim depan, dengan berasakan kualiti skuad kendalian Pep Guardiola itu mampu dipertingkatkan lagi.

"Ia sangat menakjubkan, ia membuktikan City adalah yang terbaik kerana memenangi kesemua gelaran dalam saingan bola sepak Inggeris. Jadi, kami sangat gembira dengan musim ini.

"Tidak mengira menang dengan keputusan 1-0 atau 5-0, terdapat ruang untuk peningkatan.

"Kami akan cuba dengan lebih baik lagi musim depan. Memenangi lebih banyak gelaran."

Advertisement

Must Watch Video