Skip to main content

Bola Sepak

De Bruyne disisihkan daripada skuad Belgium

kevin-de-bruyne-cropped_15ifzbmc1pp4h1xqha8ob9us6s.jpg
Pemain Manchester City yang cedera, Kevin De Bruyne, diketepikan daripada skuad Belgium bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2020 menentang San Marino dan Kazakhstan.

De Bruyne terlepas kemenangan 2-0 ke atas Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu susulan kecederaan paha ketika berdepan Everton minggu lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu diketepikan daripada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers esok dan tidak akan memperkuatkan Belgium dalam dua perlawanan bulan ini.

Romelu Lukaku, Thibaut Courtois dan Thomas Meunier dipanggil oleh Roberto Martinez meskipun masing-masing berdepan isu kecergasan.

"Courtois, Lukaku dan Meunier masih diragui kecergasan mereka," kata Martinez.

"Kami akan lihat Isnin nanti sekiranya mereka boleh berada dalam skuad."

Maxime Lestienne menjadi nama kejutan yang berada dalam senarai untuk menentang San Marino dan Kazakhstan, enam tahun selepas dipanggil buat kali pertama.

Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan lima gol dalam lapan penampilan liga buat Standard Liege musim ini dan dijangka meraih aksi pertama bersama Belgium.

Ditanya mengenai keputusan menyenaraikan Lestienne, Martinez memberitahu: "Dia seorang pemain berbakat. Dia menunjukkan prestasi konsisten bersama Liege.

"Dia seorang pemain tengah menyerang yang sesuai dengan sistem kami dan layak berada dalam skuad kebangsaan."

Belgium kini mengungguli Kumpulan I dengan rekod bersih enam kemenangan daripada enam perlawanan.

Senarai penuh skuad Belgium: Thibaut Courtois (Real Madrid), Hendrik Van Crombrugge (Anderlecht), Simon Mignolet (Club Brugge), Matz Sels (Strasbourg); Toby Alderweireld (Tottenham), Dedryck Boyata (Hertha Berlin), Leander Dendoncker (Wolves), Brandon Mechele (Club Brugge), Thomas Meunier (Paris Saint-Germain), Thomas Vermaelen (Vissel Kobe), Jan Vertonghen (Tottenham); Yannick Carrasco (Dalian Yifang), Timothy Castagne (Atalanta), Nacer Chadli (Anderlecht), Thorgan Hazard (Borussia Dortmund), Dennis Praet (Leicester City), Youri Tielemans (Leicester City), Hans Vanaken (Club Brugge), Axel Witsel (Borussia Dortmund); Michy Batshuayi (Chelsea), Christian Benteke (Crystal Palace), Eden Hazard (Real Madrid), Adnan Januzaj (Real Sociedad), Maxime Lestienne (Standard Liege), Romelu Lukaku (Inter), Dries Mertens (Napoli), Divock Origi (Liverpool), Yari Verschaeren (Anderlecht).

Advertisement

Must Watch Video