Skip to main content

Bola Sepak

De Bruyne cergas, positif selepas bebas kecederaan ketika pramusim

kevin-de-bruyne-cropped_1c3pwy0olneow18os3h5mob8z5.jpg
Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, yakin masalah kecergasan yang dialami musim lalu telah tamat.

Tiga kecederaan lutut -- dua daripadanya melibatkan kerosakan ligamen -- serta masalah di bahagian paha membuatkan pemain Belgium itu hanya tampil dalam 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris tatkala City mempertahankan kejuaraan.

De Bruyne mengakui kecewa selepas melalui rentetan kecederaan yang dialami ketika berdepan Tottenham, April lalu, sehingga membuatkannya terpaksa melupakan baki saingan.

Namun, selepas pulih dan menjaringkan gol dalam final Piala FA, dia kini beraksi dalam dua perlawanan pramusim City di Asia, membuatkan pemain berusia 28 tahun itu lega.

"Saya dalam keadaan baik," katanya.

"Apa yang berlaku tahun lalu terjadi kepada semua orang. Saya telah bermain secara profesional selama 11 tahun dan hanya semusim melalui episod kecederaan.

"Namun, di penghujung tahun, saya tetap beraksi dalam 32 perlawanan, sesuatu yang dilakukan oleh ramai pemain.

"Saya sudah biasa dengannya dan kini berasa bagus. Saya gembira dapat beraksi dalam semua aksi pramusim. Saya melakukannya dengan baik."

City melengkapkan aksi persahabatan ketika menundukkan Yokohama F. Marinos 3-1 kelmarin dan kini mempersiapkan diri menjelang saingan Perisai Komuniti berdepan Liverpool, Ahad ini.

De Bruyne mengalu-alukan penamat jelajah di Asia yang melibatkan China dan Jepun.

"Memang sukar kerana anda melalui perjalanan yang jauh dan perlu melakukan banyak aktiviti komersial. Dalam masa sama, anda perlu mempersiapkan diri secara fizikal," tambahnya.

"Ogos tidak terlalu padat. Ia benar-benar bermula pada September buat kami apabila semua saingan di Eropah melakukan sepak mula.

"Jelas sekali perlawanan hujung minggu ini adalah peluang untuk kami menjulang trofi, jadi kami mahu bersedia menentang Liverpool."

Advertisement

Must Watch Video