PIALA FA
David Usop akui pasukannya bernasib baik
Ketua jurulatih Sarawak, David Usop, menyifatkan skuad kendaliannya bernasib baik berupaya membawa pulang satu gol berharga selepas mengikat Terengganu 1-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, malam tadi.
“Memang kami berhasrat untuk mendapatkan gol dan nasib menyebelahi Sarawak kerana pasukan lawan menguasai permainan sejak separuh masa pertama.
“Kami cuba meningkatkan mutu persembahan pada 45 minit kedua, namun pasukan lawan terus mengasak dan seharusnya menambah jaringan di penghujung perlawanan.
Iklan
“Keputusan ini memberi sedikit kelebihan kepada kami dan tekanan kini terarah kepada Terengganu untuk menang di Kuching,” tambahnya lagi.
Perlawanan itu menyaksikan tuan rumah mendahului pada minit ke-21 hasil tandukan Federico Falcone yang menerima hantaran Muhd Ferris Danial dari sebelah kiri.
Tujuh minit bersambung dalam babak kedua, Sarawak menyamakan kedudukan selepas sepakan percuma Mark Andrew Hartmann gagal dikeluarkan barisan pertahanan Terengganu untuk Jong Ho Lee mudah menewaskan penjaga gol lawan, Muhamad Syazwan Yusof.
Terengganu melakukan serangan bertali arus tetapi dua percubaan Lutfulla Turaev (m-62) dan Muhd Ferris (m-65) gagal menemui sasaran.
Falcone turut kempunan menambah koleksi jaringan selepas rembatannya pada minit ke-71 dan minit ke-89 tinggi melepasi pintu gol pelawat.
Pertahanan tuan rumah, Adib Aizuddin Ab Latif, hampir menggembirakan 6,000 penyokong Sang Penyu, malangnya sepakan deras di depan pintu gol Sarawak pada masa kecederaan meliar ke sebelah kiri penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari.
Meskipun gagal meraih keputusan selesa, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan optimis dengan peluang mereka menjelang aksi timbal balik, 21 April ini.
“Masih ada 90 minit di Kuching dan saya berharap para pemain memasang tekad (untuk ke separuh akhir), ditambah dengan kembalinya tonggak yang digantung dan tercedera.
“Kami hilang tumpuan, namun tetap mencipta peluang untuk mendapatkan gol kedua, terutama dalam separuh masa kedua,” kata Irfan.
Must-Watch Video