Kelantan mengesahkan telah mengambil dua pemain import baharu menggantikan dua pemain yang telah dihantar pulang ekoran gagal menepati syarat ditetapkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Pemain pertahanan dari Gambia, Mamadou Danso dan Allesandro Padovani Celin dari Brazil tiba di Kota Bharu hari ini.
Danso memiliki pengalaman beraksi di Amerika Syarikat bersama skuad Rayo Oklahama City (Rayo OKC) manakala Celin beraksi bersama Concordia Chiajna, sebuah kelab berpangkalan di Romania.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, memberi jaminan meskipun Danso dan Celin baru tiba ke Kota Bharu, namun kedua-duanya telah pun bersedia untuk memberi sumbangan dalam aksi pertama Liga Super berdepan Melaka United malam esok.
"Sudah disahkan kerana mereka berdua telah mendapat ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) dan melepasi pemeriksaan kesihatan.
"Pemain import yang hadir sebelum ini gagal mendapat ITC dan pemeriksaan kesihatan.
"Dalam sistem ujian kesihatan yang dibuat The Red Warrior, dari dahulu lagi, saya sudah mencadangkan agar pentingnya melaksanakan ujian MRI kerana banyak kecederaan boleh disembunyikan," jelasnya.
Tambah Annuar, dengan adanya dua pemain import baru ini, meskipun tiba pada saatsaat akhir, melengkapkan skuad 31 pemain The Red Warriors, termasuk empat pemain Piala Presiden.
"Dua import ini akan menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pemain lain."