Tonggak pertahanan Kuala Lumpur City FC, Daniel Ting mungkin sekali lagi mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia apabila berdepan situasi rumit untuk pulang ke negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard, ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, mengesahkan pemain kacukan Malaysia-England itu mempunyai masalah peribadi.
Kelibat Daniel tidak kelihatan pada sesi latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan skuad The City Boys sejak pertengahan bulan lalu.
Ia sekaligus menimbulkan persoalan mengenai status Daniel ketika dia masih mempunyai kontrak bersama kelab berkenaan.
"Daniel merupakan satu-satunya pemain yang belum kembali bersama pasukan, buat masa ini, dia perlu bersama keluarga, jika dia memberikan keputusan tidak akan kembali, kami akan mencari jalan untuk membawanya kembali bersama pasukan, semestinya masih lagi terdapat masa namun keluarga perlu diutamakan" kata Stanley.
"Dalam ketiadaannya, sebab itu kami mengambil keputusan untuk menandatangani Declan Lambert yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Daniel, namun saya mahu menegaskan mahu mendapatkan khidmatnya bagi musim 2022."
Untuk rekod, Daniel mula beraksi dalam Liga Malaysia bersama Johor Darul Takzim II pada 2016 sebelum menyertai PKNS FC pada musim 2018.
Namun, selepas meninggalkan PKNS, Daniel menghilang selama dua tahun sebelum kembali ke Liga Malaysia dengan menyertai KL City musim lalu.
Daniel antara tunjang utama kejayaan KL City menjuarai edisi ke-100 Piala Malaysia menerusi aksi mantap di posisi pertahanan kiri hingga dicanang sebagai pemain yang layak mewakili skuad Harimau Malaya.
Ammar Hakim
Sat Feb 12 2022