Skip to main content

Bola Sepak

Danial Ashraf akui jentera serangan TRW perlu lebih tajam

danial-ashraf.jpg
Tonggak muda Kelantan, Danial Ashraf Abdullah, mengakui jentera serangan tidak boleh terus mempamerkan ketumpulan penyudah andai mahu mencapai kemenangan dalam pertemuan misi hidup dan mati dengan Kedah di laman sendiri malam ini. 

The Red Warriors (TRW) mencatat rekod jaringan paling sedikit berbanding 15 pasukan lain dalam lima aksi peringkat kumpulan.

Justeru, senario itu menyaksikan skuad bimbingan Yusri Che Lah berkenaan hanya mampu menghasilkan satu gol, itupun menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 bulan lalu.

Menyerlahkan ketumpulan penyudah, Danial enggan situasi sama berulang dalam pertemuan hidup mati bertemu Kedah.

"Insya-Allah kami di bahagian serangan akan buat yang lebih baik daripada perlawanan sebelum ini. 

"Kedah telah kembali menemui momentum, maka kami perlu buat yang lebih baik daripada mereka," katanya. 

Skuad Kelantan memerlukan kemenangan selesa ke atas Lang Merah untuk memastikan kemaraan ke suku akhir.

Kelibat Danial yang menunjukkan peningkatan prestasi dalam kempen Piala Malaysia sudah pasti ditagih untuk merobek gawang lawan bagi merealisasikan misi itu.

"Saya sudah kembali ke rentak asal. 

"Bagaimanapun, saya belum berpuas hati lagi dan akan berikan yang lebih baik lagi untuk pasukan.

"Kami perlu berusaha sebagai sebuah pasukan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video