Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Dalic harap Modric rampas Bola Emas daripada Messi

modric-2-(2).jpg
Zlatko Dalic berharap Luka Modric akan dinamakan sebagai Pemain Terbaik Piala Dunia 2018 berikutan Croatia telah melakukan sesuatu yang "penting" di Russia.

Modric meraih pujian tinggi sebagai salah seorang pemain yang menonjol di peringkat kumpulan apabila mengilhamkan pasukannya untuk mengumpul sembilan mata menentang Iceland, Argentina dan Nigeria.

Tumpuan akan sekali lagi menjurus kepada perancang Real Madrid berkenaan dalam pertembungan dengan bintang Denmark, Christian Eriksen, dalam pusingan 16 di Nizhny Novgorod malam ini, venue di mana dia menjaringkan gol menakjubkan ketika membelasah Argentina 3-0.

Dengan skuad bimbingan Jorge Sampaoli terkandas 3-4 kepada Perancis dalam aksi mendebarkan tengah malam tadi, Anugerah Bola Emas yang dimenangi Lionel Messi pada 2014 kini hampir pasti bertukar tangan.

Justeru, Dalic menganggap Croatia mungkin akan mengharungi kejohanan yang akan diingati jika Modric muncul pemenangnya. 

"Messi tidak akan memenanginya kerana mereka sudah kalah 2-4," katanya pada sidang akhbar, yang berlaku semasa pertembungan Argentina dengan Perancis.

"Saya akan menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini jika (Modric) melakukannya. Ini bermakna Croatia telah melakukan sesuatu yang penting, saya harap begitu."

Croatia diangkat sebagai pencabar utama susulan aksi cemerlang di peringkat kumpulan, begitupun Dalic menegaskan semua itu tidak bermakna sekiranya mereka tidak memberi Denmark tekanan.

"Tekanan terbesar kami datang dari dalam," katanya. "Kami telah mencapai sesuatu dalam kumpulan tetapi ia tidak bermakna apa-apa jika kami tidak memanfaatkannya. 

"Peringkat kumpulan sudah berlalu, ia menyuntik keyakinan terhadap kemampuan kami tetapi kami tidak boleh mengambil mudah. Saya yakin dengan skuad ini, saya tahu bukannya mudah.

"Adalah bagus untuk mendengar bahawa kami diiktiraf sebagai sebuah pasukan yang menampilkan aksi hebat di peringkat kumpulan namun izinkan saya ulangi: ia tidak bermakna apa-apa jika kami tidak memanfaatkannya."

Bagi Dalic, pusingan akhir 2018 akan dikenang sebagai puncak kerjayanya tanpa mengira keputusan di Stadium Nizhny Novgorod nanti. 

"Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan jika kami bermain dengan baik, saya fikir kami akan mencapai satu perkara yang menarik untuk diri sendiri, keluarga dan Croatia," katanya. "Inilah yang membuatkan saya teruja. 

"Saya perlu tenang tetapi ada api perjuangan ada dalam diri saya. Jika tuhan membenarkan kemenangan, kami akan gembira.

"Jika tidak, saya akan tetap berbangga dengan masa yang saya habiskan dengan barisan pemain ini. Ini akan menjadi hari terbaik dalam kerjaya saya."

Advertisement

Must Watch Video