Paulo Dybala hanya memerlukan tiga minit untuk memecah kebuntuan perlawanan di Stadium Allianz, awal pagi tadi, sebelum Hamed Traore segera memulihkan kedudukan.
Skuad kendalian Allegri itu dua kali berpeluang menggegar gawang lawan dalam separuh masa kedua yang menyaksikan Matthijis de Ligt terlepas peluang keemasan, namun gol kemenangan mereka tiba apabila rembatan Vlahovic terkena Ruan lalu mengelirukan Gianluca Pegolo.
Kemenangan itu memastikan Juve melangkah ke separuh akhir Coppa Italia dalam tujuh daripada lapan musim terakhir dan tiada pasukan lain yang lebih kerap melepasi peringkat suku akhir daripada Bianconeri (10) sejak musim 2006-07.
Sebahagian besar pujian yang dilontarkan Allegri selepas perlawanan itu ditujukan kepada bintang baru, Zakaria dan Vlahovic.
2️⃣ in 2️⃣ for Dušan Vlahović as the Serbian strikes late to secure our #CoppaItaliaFrecciarossa semi-final spot ✅#JuveSassuolo #ForzaJuve
— JuventusFC (@juventusfcen) February 10, 2022
"Kami gembira dengan pembelian Vlahovic dan Zakaria yang telah menyesuaikan diri dengan baik," katanya kepada Mediaset.
“Kami gembira mempunyai Vlahovic yang masih perlu meningkatkan lagi kualiti sentuhannya tetapi ini adalah sebahagian daripada peningkatan setiap pemain.
"Kami juga bernasib baik selepas mengharungi babak kedua yang baik, gol mereka membuatkan kami hilang rentak tetapi kemudian kami tersedar."
Nasib Juve perlahan-lahan berubah. Mereka telah memenangi sembilan daripada 13 perlawanan mereka sejak awal Disember untuk mendaki ke tangga keempat Serie A -– lapan mata di belakang pendahulu, Inter, yang mempunyai satu perlawanan di dalam tangan.
Tetapi apabila ditanya sama ada peluang Scudetto masih terbuka buat Juve, Allegri dengan pantas menolak cadangan itu: "Kami 11 mata di belakang Inter.
"Kami perlu berdepan dan bersaing dengan Atalanta jadi kami perlu bersedia: Kami akan bersaing sengit. Selain daripada adalah sukar untuk dijangkau."