Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Copa America: Tiada alasan -- Tabarez terima pasukannya tersingkir

tabarez-cropped_9jef28sckric1ii42etbtcq3i.jpg
Pengendali Uruguay, Oscar Tabarez, tidak memberikan sebarang alasan selepas pasukan kendaliannya itu tersingkir daripada Copa America 2019 setelah tewas menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di tangan Peru.

Kegagalan Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti di Salvador membolehkan Peru mengesahkan tempat dalam separuh akhir.

Edinson Cavani melepaskan peluang keemasan dalam babak pertama sambil Diego Godin turut mensia-siakan kesempatan selepas rehat sehingga aksi berakhir tanpa jaringan dalam permainan sebenar.

Uruguay menyaksikan tiga jaringan diraih dibatalkan akibat ofsaid dan Tabarez tidak mahu menyalahkan pegawai perlawanan selain menerima kekalahan itu walaupun Peru gagal mencipta sebarang peluang dalam waktu sebenar.

"Keputusan itu memberi kekecewaan besar tetapi saya menerimanya," katanya.

"Kami hadir dengan keinginan untuk menang, cuba mencipta permainan dan gagal. Anda perlu tahu bagaimana untuk kalah.

"Kami gagal dalam satu aspek, ofsaid. Kami menerima tujuh ofsaid, tiga daripadanya berakhir dengan jaringan.

"Tiada alasan. Saya tidak datang ke sini untuk menerangkan apa-apa. Kami gagal menang. Lawan datang dengan perancangan dan tidak mustahil untuk menang.

"Saya melihatnya sendiri. Tiada pasukan yang sentiasa menang atau kalah. Kami akan meneruskan laluan ini, belajar daripada kekalahan dan berkembang."

Peru akan berdepan juara bertahan, Chile, Rabu ini sambil Brazil dan Argentina melakukan perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Advertisement

Must Watch Video