BOLA SEPAK
Copa America: Jaringan Sanchez pastikan Chile ke suku akhir
CHILE 2 ECUADOR 1
Alexis Sanchez sekali lagi menjaringkan gol untuk membawa Chile melangkah ke suku akhir saingan Copa America dengan kemenangan 2-1 ke atas Ecuador, sebentar tadi.
Sanchez menjaringkan gol kedua dalam kempen kali ini, dengan jaringannya pada minit ke-51 itu cukup untuk memastikan Chile meraih enam mata selepas dua perlawanan untuk mengetuai Kumpulan C.
Iklan
Jaringan pembukaan Jose Fuenzalida dinafikan Enner Valencia menerusi sepakan penalti di Salvador.
Tetapi jaringan Sanchez meletakkan juara bertahan dua kali itu melangkah ke suku akhir dengan berbaki satu perlawanan dalam saingan kumpulan, sementara Ecuador terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Gabriel Achilier dilayangkan kad merah.
Chile memulakan permainan dengan sempurna apabila mendahului pada minit kelapan menerusi Fuenzalida.
Barisan pertahanan Ecuador gagal mengeluarkan bola daripada zon bahaya dan Fuenzalida menggunakan peluang tersebut untuk melepaskan rembatan bagi mencetak jaringan kelima di pentas antarabangsa.
La Roja mendominasi permainan, namun berjaya menyamakan kedudukan apabila Jhegson Mendez dijatuhkan penjaga gol, Gabriel Arias, dan Valencia menggunakan peluang itu untuk menyamakan kedudukan.
Chile meningkatkan lagi keamatan ketika melakukan serangan, namun kedua-dua pasukan bergelut untuk menembusi benteng pertahanan.
Bagaimanapun, Chile kembali mendahului permainan hasil jaringan Sanchez dalam separuh masa kedua.
Charles Aranguiz melakukan hantaran silang mencari Sanchez sebelum penyerang Manchester United itu mengatasi penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez, sekali gus melengkapkan kemenangan skuad kendalian Reinaldo Rueda itu untuk melangkah ke suku akhir.
Must-Watch Video



