Skip to main content

Bola Sepak

Conte: Segalanya bergantung kepada Juventus

antonioconte.jpg
Antonio Conte percaya 'segalanya bergantung kepada Juventus' dalam persaingan takhta Serie A di sebalik Inter melonjak ke tangga teratas liga menerusi kemenangan dalam aksi Derby della Madonnina.

Kebangkitan dalam separuh masa kedua menyaksikan Inter pulih daripada ketinggalan 2-0 untuk mengatasi Milan 4-2 di San Siro awal pagi tadi.

Marcelo Brozovic, Matias Vecino, Stefan de Vrij dan Romelu Lukaku menjaringkan gol dalam separuh masa kedua, yang menyaksikan Inter menyamai 54 mata dengan Juventus.

Tetapi Conte berkata gelaran tidak terletak di tangan Inter, ketika Juve mengejar gelaran Scudetto kesembilan berturut-turut.

"Ia merupakan impian kami, impian buat Lazio. Ia juga merupakan impian Atalanta atau Roma," kata pengendali Inter itu.

"Kami membincangkan mengenai kejuaraan yang didominasi sebuah pasukan yang berhak untuk bergelar pemenang."

Conte berkata lagi, "Segalanya bergantung kepada Juventus. Saya juga mendengar beberapa pemain Juventus berkata, 'Kali ini, kami perlu bersedia'."
Jaringan daripada Ante Rebic dan Zlatan Ibrahimovic meletakkan Milan mendahului permainan sebelum Inter bangkit, dengan skuad kendalian Conte itu menyamakan kedudukan dalam tempoh lapan minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Conte berkata skuad kendaliannya telah diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemain-pemain seperti Christian Eriksen, Ashley Young dan Victor Moses yang menyertai pasukan bulan lalu.

"Sejujurnya, kami tidak pernah memiliki masalah daripada sudut fizikal.

"Satu-satunya isu adalah kami kerap menurunkan pemain yang sama.

"Apabila skuad yang sama beraksi dalam setiap tiga hari, sukar untuk mengelak daripada kecederaan.

"Hari ini, kami berpeluang untuk melakukan sesuatu yang berbeza."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found