Skip to main content

Bola Sepak

Clyne ikut jejak Solanke ke Bournemouth

nathanielclyne-cropped_1oj2uzxsvybyuzxhz0gxl43jf.jpg
Nathaniel Clyne telah menyertai Bournemouth secara pinjaman daripada Liverpool sehingga tamat musim ini.

Pemain England berusia 27 tahun itu bergelut dengan masalah kecederaan dalam 18 bulan terakhir dan perkembangan positif yang ditampilkan Trent Alexander-Arnold membuatkannya terus menjadi pilihan kedua di Anfield.

Clyne memulakan karier musim ini dengan positif apabila membarisi kesebelasan utama The Reds ketika membenam Manchester United 3-1 di laman sendiri bulan lalu.

Namun, situasi James Milner mengisi posisi bek kanan dalam kunjungan seterusnya ke Wolverhampton Wanderers dan kemampuan Joe Gomez beraksi selaku pertahanan sayap menyaksikan pengendali, Jurgen Klopp, tidak ketandusan pilihan.

Dalam masa sama, Bournemouth tidak memiliki bek kanan semulajadi selepas Simon Francis dan Adam Smith menjalani pembedahan lutut.

"Saya sangat gembira dengan peluang ini," kata Clyne.

"Ia adalah peluang terbaik untuk saya bermain bola sepak. Saya telah bercakap dengan pengurus dan berbincang mengenai apa yang boleh dicapai sehingga penghujung musim. Ia adalah kelab hebat dengan sejarah bagus. Saya tidak sabar untuk mula beraksi," katanya.

Clyne menyertai Dominic Solanke di Stadium Vitality selepas penyerang skuad Piala Dunia England B-20 itu melengkapkan perpindahan bernilai GBP19 juta (RM99 juta) semalam.

Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, berkata: "Clyne adalah pemain berpengalaman dan mampu memberikan manfaat kepada kami.

"Melihat situasi Francis yang cedera, penting buat kami membawa masuk seorang pemain yang dapat mengisi kekosongan itu dan tentunya hebat apabila Clyne menyertai kami.

"Kami sangat gembira dengan apa yang ditawarkan Clyne buat pasukan."

Clyne dijangka melakukan penampilan pertama buat Bournemouth dalam aksi pusingan ketiga Piala FA berdepan Brighton and Hove Albion malam ini.

Advertisement

Must Watch Video