Skip to main content

Bola Sepak

City, Guardiola pecah rekod di Old Trafford

manchester-city.jpg
MANCHESTER UNITED 0 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola dan pasukannya, Manchester City, memecahkan pelbagai rekod dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini ketika menewaskan Manchester United di Old Trafford, awal pagi tadi.


Benardo Silva dan Leroy Sane menjaringkan gol dalam babak kedua untuk meletakkan City kembali di puncak liga dengan memintas Liverpool.

The Citizens kini menjaringkan 157 gol dalam kesemua kejohanan musim ini untuk menjadi pasukan Inggeris pertama melakukannya dalam satu musim.

City memecahkan rekod mereka sendiri yang dilakar bersama bekas pengurus, Manuel Pellegrini, pada musim 2013-14 di mana mereka turut meraih kejuaraan Liga Perdana dan Piala Liga (EFL).

Guardiola turut mencipta sejarah tersendiri selepas pengendali City itu menjadi pengurus pertama memenangi tiga aksi berturut-turut di Old Trafford sebagai pasukan pelawat.

Selepas memenangi aksi 'derby' itu, City akan bergelar juara andai memenangi tiga baki perlawanan musim ini, bermula dengan kunjungan ke Burnley, hujung minggu ini.

Sementara itu, United kini dibolosi dalam 12 perlawanan berturut-turut untuk menjadi rekod terburuk mereka sejak Ogos 1971.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kini mengalami tujuh kekalahan daripada sembilan perlawanan terakhir untuk ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, bagi perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Advertisement

Must Watch Video