Skip to main content

Bola Sepak

The City Boys fokus atasi benteng rapuh

chong-yee-fatt.jpg
Pemangku jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, bertekad menyelamatkan maruah skuad Warga Kota menerusi kutipan mata penuh ketika menentang Felcra FC esok selepas bermula buruk dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Skuad Kuala Lumpur diaibkan 1-5 oleh Terengganu di laman sendiri dalam aksi pertama Kumpulan A minggu lalu. 

Kekalahan besar ketiga mereka musim ini itu menyaksikan pengendali utamanya, Fabio Maciel, 'direhatkan' serta-merta oleh pengurusan pasukan.

Tugas berkenaan kini digalas Yee Fatt yang berdepan ujian sulung selaku pemangku jurulatih untuk pertemuan dengan Felcra bagi aksi kedua peringkat kumpulan.

"Tidak banyak (perubahan dilakukan). Saya cuma berpesan kepada pemain agar tahu apa yang mereka lakukan selain menukar formasi agar tidak dibolosi dengan kerap," katanya. 

Bekas penolong jurulatih Perak itu, bagaimanapun, mengharapkan barisan pertahanannya dapat menyerlahkan aksi ampuh untuk mencapai kemenangan ke atas Felcra.

Ia susulan anak buahnya sudah dibolosi 60 gol dalam tiga saingan berbeza, termasuk kempen Piala Malaysia, secara tidak langsung muncul pasukan Liga Super paling banyak dibolosi setakat ini.

"Masalah kami adalah tahap konsistensi dan keyakinan. 

"Ini kerana dalam saingan liga, kami pernah menang ke atas empat pasukan teratas. 

"Cuma, fokus bahagian pertahanan senang 'pecah'," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video