Skip to main content

Bola Sepak

Chiellini dilanda kecederaan ACL

giorgiochiellini.jpg
Giorgio Chiellini dilanda kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di lutut kanannya dan perlu menjalani pembedahan, demikian disahkan Juventus.

Pertahanan tengah berpengalaman itu akan memulakan rawatannya esok selepas imbasan di Pusat Perubatan J-Medical mendapati terdapat kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan awal pagi tadi.

Juve masih belum mengenal pasti tempoh pemulihan pemain berusia 35 tahun itu, yang menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Parma 1-0 minggu lalu.

"Dalam sesi latihan hari ini, Giorgio Chiellini mengalami kecederaan di lutut kanannya," kata Juve dalam satu kenyataan.

"Ujian diagnostik yang dilakukan di J-Medical menunjukkan terdapat koyakan ACL.

"Dia perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat."

Dengan berita buruk itu, ia bermakna Juve mungkin akan mengekalkan khidmat Daniele Rugani dan Merih Demiral, yang dikhabarkan akan meninggalkan Turin sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Isnin ini.

Chiellini telah melakukan 384 penampilan sejak menyertai Juve daripada AS Roma pada 2005.

Juara Serie A lapan kali itu merupakan pemain utama di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Massimiliano Allegri, walaupun kecederaan otot mengehadkannya untuk beraksi sebanyak 22 perlawanan dalam liga musim lalu.

April lalu, pemain kebangsaan Itali itu memberitahu DAZN bahawa dia mahu bermain untuk satu atau dua tahun lagi sebelum menyertai barisan kejurulatihan di Stadium Allianz.

Juve akan menentang Napoli awal pagi esok dengan Matthijs de Ligt dijangka akan melakukan penampilan pertamanya.

Advertisement

Must Watch Video