Skip to main content

Bola Sepak

Cheng Hoe tuntut tumpuan pemain

malaysia-harimau-malaya.jpg
"Kami tidak dapat bermain seperti biasa". Demikian reaksi jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, selepas pasukannya tunduk 0-2 kepada Taiwan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa malam tadi ekoran permukaan padang yang teruk.

Aksi persahabatan dalam kunjungan ke Taiwan itu menjadi misi serampang dua mata buat Cheng Hoe apabila ia bukan sahaja menjadi medan persiapan untuk Piala Suzuki AFF, November ini, malah untuk memperbaiki ranking dunia.

Namun, hasrat Cheng Hoe tidak kesampaian susulan kekalahan dengan keadaan padang becak akibat hujan yang diakui mengganggu rentak pasukannya sepanjang 90 minit permainan.

"Kami bermain dengan begitu baik tetapi dalam bola sepak, kami perlu menjaringkan gol untuk mendapatkan kemenangan.

"Kedua-dua gol Taiwan boleh dielakkan jika pemain fokus dalam permainan dan mengikut tiupan wisel. 

"Pujian harus diberikan kepada pemain yang diturunkan kerana komited dalam setiap minit," ujarnya. 

Ini kekalahan kedua yang dialami Cheng Hoe selepas mengendalikan lima perlawanan skuad negara sejak dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada, Disember lalu.

Aksi seterusnya buat Harimau Malaya adalah berdepan Kemboja, Isnin ini, sebelum mengharungi tiga lagi aksi persahabatan bertemu Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives.

"Ketiadaan Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad sedikit merencatkan jentera serangan kami. 

"Saya harap pemain mempamerkan aksi terbaik dan meyakinkan bagi pihak barisan kejurulatihan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video