Skip to main content

Bola Sepak

Cheng Hoe tidak kisah keputusan bertemu Jordan

cheng-hoe.jpg
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menegaskan dia tidak kisah dengan apa jua keputusan perlawanan persahabatan menentang Jordan demi persediaan sempurna skuad Harimau Malaya itu untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, bulan depan.

Pengendali itu memilih Jordan, yang menghuni ranking ke-99 dunia, sebagai lawan untuk aksi pemanas badan sebelum bertemu Indonesia, 5 September depan.

Sememangnya ia pilihan mencabar daripada jurulatih berusia 51 tahun itu kerana Jordan bukan sahaja berada di ranking yang jauh lebih tinggi, malah ia akan menjadi lawan paling kuat buat anak buahnya sepanjang tahun ini.

Kali terakhir skuad negara beradu kekuatan dengan pasukan handalan adalah ketika bertemu Kyrgyzstan -- ranking ke-91 dunia pada ketika itu -- Oktober tahun lalu

"Kami sudah banyak kali bermain dengan pasukan Asia Tenggara.

"Mereka memiliki taraf dan tahap yang lebih kurang sama.

"Tidak banyak perbezaan atau perbandingan yang ketara.

"Saya rasa perlawanan persahabatan dengan Jordan adalah pentas terbaik untuk menguji kekuatan pasukan dan persediaan terbaik untuk berdepan UAE (Emiriah Arab Bersatu)," katanya.

Meskipun tidak menguji kekuatan lawan dari Asia Tenggara, Cheng Hoe menegaskan ia bukan bermaksud dia memandang mudah cabaran Indonesia, Vietnam dan Thailand yang turut berada dalam Kumpulan G.

Apa pun, sebagai persediaan mantap, skuad negara diberikan lampu hijau untuk mengadakan kem latihan pusat lebih awal, iaitu pada 26 Ogos ini, 10 hari sebelum aksi pertama kempen kelayakan berkenaan.

"Memang kami akan melakukan panggilan lebih awal dengan kerjasama FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk memastikan kalendar terbuka sebelum panggilan yang beberapa hari lebih awal itu.

"Memang ada perbincangan dan persetujuan daripada MFL dan persediaan sudah diadakan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Advertisement

Must Watch Video