Skip to main content

Bola Sepak

Chelsea bermula terlalu baik musim ini -- Sarri

mauriziosarri.jpg
Maurizio Sarri percaya kecemerlangan Chelsea dalam memulakan Liga Perdana Inggeris musim ini telah memberikan harapan palsu buat peminat mereka.

Pengendali kelahiran Itali itu melalui 12 perlawanan tanpa kekalahan sejak menyertai pasukan itu daripada Napoli dan The Blues hanya tewas dalam aksi liga ketika bertandang ke Tottenham Hotspur, 24 November lalu.

Sejak dari itu, skuad kendalian Sarri berkenaan telah terlepas peluang untuk meraih kejuaraan liga dan kini perlu merebut empat kedudukan teratas dengan Arsenal, Spurs dan Manchester United untuk mendapatkan dua lagi slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Penyokong Chelsea meluahkan kekecewaan mereka ketika pasukan itu bergelut untuk menewaskan Cardiff City, termasuk mengarahkan Sarri untuk melepaskan jawatannya, namun pengendali berusia 60 tahun itu menganggap jangkaan yang tidak adil itu tiba disebabkan permulaan cemerlang yang dilakar mereka musim ini.

"Kami mungkin bermula terlalu baik," katanya menjelang perlawanan dengan Brighton and Hove Albion di Stamford Bridge, awal pagi esok.

"Penyokong kami mungkin menyangkakan ia musim yang mudah buat kami.

"Dalam musim-musim terdahulu, kami sudah terbiasa dengan kemenangan.

"Jadi, mereka mungkin menyangkakan ia adalah normal untuk kami terus menang, namun ia tidak normal.

"Dalam Liga Perdana, saya berasakan ia tidak mudah.

"Setiap perlawanan amat sukar dan setiap pasukan juga terlalu kuat.

"Amat sukar untuk menduduki empat tangga teratas dalam kejohanan ini," katanya.

Ditanya sama ada dia sudah menjangkakan Chelsea akan ketinggalan daripada kelompok atasan liga musim ini, Sarri berkata: "Ya, kami perlu berdepan kesukaran.

"Kami bermula dengan terlalu baik dengan memperoleh sedikit tuah dalam aksi yang bertaraf tinggi.

"Namun, saya sudah menjangkakan yang ia tugasan sukar.

"Lambat laun, kami pasti akan berdepan kesukaran," tambahnya.

Pendekatan Sarri yang mengutamakan penguasaan bola mendapat kritikan daripada penyokong, namun dia tidak berniat untuk mengubah pendekatan itu.

Ditanya sama ada dia akan menyesuaikan diri dengan mengubah cara itu, Sarri menjawab: "Tidak, kerana saya perlu percayakan apa yang sedang saya lakukan.

"Jika tidak, agak mustahil untuk saya menyampaikan idea saya kepada pemain."

Advertisement

Must Watch Video