Skip to main content

Bola Sepak

Cech bidas persembahan rakan sepasukan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

petr-cech-cropped_2k6zdb5llmqvz62dsu4kgx57.jpg
Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, membidas persembahan pasukannya selepas dimalukan Liverpool 4-0 di Anfield, malam tadi.

The Gunners dikecewakan menerusi gol Roberto Firmino, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Daniel Sturridge.

Pengendali, Arsene Wenger, menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai memalukan tatkala mereka melakar kekalahan kedua selepas tiga perlawanan.

Arsenal turut gagal melakar sebarang percubaan tepat ke gawang The Reds.

Cech turut tidak dapat menyembunyikan kekecewaanya apabila memberitahu Sky Sports: "Persembahan pemain tidak boleh diterima jika mengambil kira kualiti pemain yang kami miliki.

"Kamu mungkin kalah kerana tidak bernasib baik atau tewas setelah memberikan tentangan sengit tetapi bukan seperti ini.

"Kami tidak berjuang, pemain tidak berlari secukupnya dan gagal merebut bola. Situasi ini sangat mengecewakan.

"Kami gagal sepenuhnya dan hanya mampu menyalahkan diri sendiri. Satu-satunya perkara positif yang timbul daripada keputusan ini, kami harus bertindak balas dalam aksi seterusnya."

Kekalahan ini -- termasuk tewas 1-0 kepada Stoke City minggu lalu -- bermakna mereka kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Manchester United, selepas hanya tiga perlawanan.

Bagaimanapun, Cech menegaskan dia berkemungkinan akan bersara seandainya dia tidak percaya Arsenal mampu bangkit.

"Jika saya tidak percaya kami mampu bangkit, mungkin saya akan bersara," katanya.

"Saya masih mengekalkan kepercayaan terhadap pasukan ini.

"Kami perlu lebih konsisten."

Advertisement

Must Watch Video