Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Cassano label Ronaldo angkuh

ronaldo_1.jpg
Cristiano Ronaldo angkuh dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang diterapkan Andrea Pirlo di Juventus, menurut bekas pemain antarabangsa Itali, Antonio Cassano.

Juventus dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di Porto dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), semalam, yang menyaksikan gol Federico Chiesa pada minit ke-82 merapatkan jurang selepas Mehdi Taremi dan Moussa Marega memberi kelebihan kepada pasukan bimbingan Sergio Conceicao itu.

Ronaldo mencipta dua peluang berkualiti tetapi sekadar menghasilkan satu percubaan tepat sepanjang pertembungan itu dengan Bianconeri berdepan kemungkinan satu lagi penyingkiran awal dalam pusingan kalah mati buat musim kedua berturut-turut. 

Ini adalah kali pertama Ronaldo mencatatkan satu atau lebih sedikit percubaan dalam kempen UCL sejak kali terakhir berdepan detik sukar itu pada November 2019 menentang Atletico Madrid.

Juve membelanjakan €112 juta (RM546.9 j) untuk membawa juara UCL lima kali itu ke Turin pada 2018 dengan hasrat mencerahkan lagi peluang mereka menjulang piala berkenaan buat julung kalinya sejak 1996.

Cassano berpendapat Ronaldo bergelut untuk menyesuaikan diri dengan falsafah Pirlo dan terlalu fokus kepada dirinya sendiri di sebalik keinginan membantu pasukan.

"Saya selalu berkata walaupun dia adalah fenomena dan telah menjaringkan satu juta gol sekalipun, tetapi dengan idea bola sepak Andrea Pirlo, dia akan menghadapi kesulitan," kata bekas penyerang itu dalam saluran Twitch Christian Vieri, BoboTV.

 

"Dia menyumbat satu gol per perlawanan itu benar tetapi dia tetap bergelut dengan idea Andrea. Dia agak mementingkan diri sendiri, dia tidak peduli kalau orang lain yang menjaringkan gol.

"Dia seorang pemain yang misi hidupnya adalah meledak gol, bukan dalam perlawanan tetapi untuk aksi getir. Dia hidup untuk gol dan ketika ini keadaannya semakin buruk. Tahun-tahun berlalu untuk semua orang dan dia sedang menghadapi kesukaran.

"Juventus telah membeli pemain yang menjuarai lima UCL dan mengalami banyak laluan berliku sepanjang menempuhinya.

"Sejak pelantikan Sarri, Juventus berusaha menunjukkan gaya yang berbeza dengan sejarahnya.

"Jelas Pirlo perlu membinanya dalam tempoh empat atau lima tahun, namun Juventus menginginkan keputusan segera."

Ronaldo mempunyai 88 koleksi gol dalam 116 perlawanan bersama Juve selain merakamkan 19 bantuan jaringan -- hanya Juan Cuadrado (21) muncul satu-satunya pemain Bianconeri yang telah mencetak lebih banyak gol sejak kedatangan ketua pasukan Portugal itu pada musim 2018-19.
 

Advertisement

Must Watch Video