LIGA INGGERIS
Cahill sertai Palace
Crystal Palace telah menandatangani Gary Cahill dengan kontrak selama dua tahun untuk memperkuatkan skuad menjelang pembukaan musim baru saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas kapten Chelsea itu meninggalkan Stamford Bridge musim lalu selepas diketepikan daripada perancangan bekas pengendali, Maurizio Sarri.
Ia petanda berakhirnya hubungan tujuh setengah tahun di antara pemain itu dan kelab berkenaan, di mana Cahill menjulang gelaran utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Iklan
Dia turut bermain selama 120 minit sebelum The Blues mengatasi Bayern Munich dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) 2012 menerusi penentuan penalti di samping memenangi Liga Europa (UEL) buat kali kedua musim lalu.
Beraksi bersama England sebanyak 61 kali, Cahill merupakan pilihan utama ketika skuad kebangsaan itu dibimbing oleh pengurus semasa The Eagles, Roy Hodgson.
“Saya masih mahu memanjangkan lagi karier saya selama yang mungkin," katanya.
"Saya berasakan berada dalam kondisi terbaik. Saya masih lagi mampu menampilkan aksi 110 peratus di atas padang -- jadi saya berharap ia memadai buat pengurus, rakan sepasukan dan penyokong kelab."
Hodgson kehilangan khidmat bek kanan, Aaron Wan-Bissaka, yang berhijrah ke Manchester United sementara masa depan pemain sayap, Wilfried Zaha, masih belum ditentukan.
Cahill merupakan pemain ketiga yang berhijrah ke Selhurst Park dalam jendela perpindahan kali ini, mengikut jejak langkah Jordan Ayew dan Stephen Henderson.
"Saya sangat gembira bahawa Cahill telah menyertai kami," kata Hodgson. "Dia seorang pemain yang berkualiti dan memiliki pengalaman di pentas EPL dan antarabangsa.
"Mengenali kebolehannya ketika saya membimbing skuad England, saya menyedari dia merupakan aset yang penting dan teruja untuk kembali bekerjasama."
Palace akan membuka kempen EPL musim di laman sendiri berdepan kelab yang berminat untuk menandatangani Zaha, Everton.
Must-Watch Video