Skip to main content

Bola Sepak

Busquets: Messi tiada perbandingan

luka-modric-and-lionel-messi-cropped_3zi2yi8lwqay1vvoula2ofb99.jpg
Luka Modric adalah seorang pemain yang hebat tetapi ia tidak boleh disamakan dengan tahap Lionel Messi, kata pemain Barcelona, Sergio Busquets.

Debat mengenai bakat pemain bola sepak terbaik dunia itu muncul setelah Messi tidak tersenarai dalam kelompok calon tiga terbaik untuk merebut anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Pemain Real Madrid, Modric, dilihat sebagai calon paling pilihan untuk mengatasi Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah, selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah serta meraih Bola Emas dalam Piala Dunia.

Busquets bakal berdepan cabaran pemain berusia 33 tahun itu apabila Sepanyol berdepan Croatia dalam aksi kedua Liga Negara-Negara UEFA awal pagi esok, namun pendapatnya mengenai pemain terbaik telah selesai.

"Pemain terbaik dunia ketika ini dan akan kekal selama bertahun-tahun adalah Messi. Dia pemain terbaik sepanjang zaman dan situasi itu akan berterusan sehingga dia bersara," kata Busquets.

"Modric adalah pemain hebat tetapi Messi tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa."

Pendapat Busquets itu tampak menyamai kenyataan yang dikeluarkan pengendali Sepanyol, Luis Enrique, yang kini sedang mempersiapkan pasukan untuk beraksi buat kali pertama di bawah kendaliannya di laman sendiri selepas menundukkan England 2-1 di Wembley, kelmarin.

Bek kiri, Marcos Alonso, antara pemain yang menyerlah dalam pertemuan tersebut selepas mengisi kekosongan Jordi Alba.

Alba menjadi antara yang secara kejutan dikeluarkan daripada senarai skuad oleh Enrique tetapi Busquets berharap agar situasi itu tidak berpanjangan.

"Sebagai rakan sepasukan, saya rindukannya," tambah Busquets.

"Dia merupakan seorang pemain yang bagus tetapi ia adalah keputusan pengurus pasukan. Saya pasti Alba tidak sabar untuk kembali bersama pasukan."

Advertisement

Must Watch Video