Skip to main content

Bola Sepak

Buktikan Tambadau kini di tahap berbeza -- Peter

sabah-2019.jpg
Pertemuan dengan Perak di Ipoh malam ini menjadi medan terbaik buat Sabah untuk membuktikan mereka kini di tahap berbeza berbanding ketika dibelasah pasukan itu dalam aksi separuh akhir pertama musim lalu. 

Dalam perlawanan itu, skuad Tambadau itu dibelasah teruk 0-5 oleh The Bos Gaurus di gelanggang sama. 

"Kami telah buat persiapan sebaiknya dan sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi juara bertahan itu. 

"Perlawanan ini adalah medan terbaik untuk pemain membuktikan bahawa pemain kami kini di tahap berbeza berbanding ketika dimalukan 0-5 di venue sama dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia tahun lalu," kata pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, ketika dihubungi. 

Menurutnya, semua pemain kini di tahap terbaik dan kejayaan merangkul gelaran juara Liga Perdana musim ini menyemarakkan lagi semangat mereka. 

"Ini adalah petanda baik dan saya amat yakin skuad Tambadau akan buat kejutan.

"Saya juga ingin mengajak penyokong Sabah untuk terus mengikuti perkembangan pasukan dan membantu dengan sokongan serta doa," katanya. 

Sementara itu, Peter turut mengucapkan tahniah kepada penyerang utama Sabah, Rodoljub Paunovic, yang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana edisi Jun 2019.

"Saya harap Paunovic akan meneruskan peranan utamanya selaku sandaran di bahagian serangan malam esok (malam ini)," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video