Skip to main content

Bola Sepak

Bukan rezeki Malaysia -- Hamidin

hamidin2.jpg
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mempertahankan kegagalan skuad B-23 negara melunaskan sasaran pertama peta hala tuju badan induk itu, F:30, layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menegaskan rezeki bukan milik Malaysia.

Walaupun sudah seminggu berlalu, kegagalan skuad B-23 negara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, Thailand tahun depan masih meniti di bibir peminat tanah air.

Apa tidaknya, ia merupakan langkah awal buat Malaysia untuk menjejakkan kaki ke pentas Sukan Olimpik 2020 yang dicanang dalam fasa pertama peta hala tuju F:30.

Bagaimanapun, Hamidin yang memberi reaksi pertamanya berhubung perkara itu senada dengan Pengarah |Teknikal FAM, Peter de Roo, apabila tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buah Datuk Ong Kim Swee itu.

"Saya dan exco bertanggungjawab dalam usaha mempertingkatkan mutu pasukan tetapi bukan rezeki Malaysia untuk beraksi di Bangkok bagi saingan Kejohanan AFC B-23. Tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan skuad pimpinan Kim Swee," katanya.

Skuad muda negara dinafikan peluang ke pusingan akhir kejohanan berkenaan menerusi format kelayakan yang menyaksikan mereka gagal menjadi antara empat pasukan tempat kedua terbaik.

Antara misi lain yang terkandung dalam fasa pertama F:30 termasuk skuad senior kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 dan skuad B-19 negara layak ke Piala Dunia B-20 pada 2023.

"Saya ingin menekankan sasaran kami adalah layak ke final Sukan SEA dan Piala AFF akan datang," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video