Skip to main content

Bola Sepak

Bukan mudah buat Perak atasi PKNP

mehmet-durakovic.jpg
Bertemu pasukan sama empat kali dalam tempoh singkat bukan mudah. Begitu kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, selepas kemenangan 3-1 anak buahnya ke atas PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. 

"Bertemu pasukan yang sama sebanyak empat kali dalam tempoh tiga minggu memang sukar. Kedua-dua pasukan sudah masak dengan persembahan masing-masing.

"Saya memang jangkakan kami akan menghadapi kesukaran tetapi syukur pemain berjaya melepasinya," kata Durakovic.

Dalam pertemuan itu, gandingan baru dari Brazil, Raianderson Careca dan Ronaldo Henrique Silva, menunjukkan bisa mereka walaupun dikawal ketat.

Careca menyumbang dua gol manakala Ronaldo satu gol untuk membantu Perak mengutip kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super 2019.

Kejayaan itu juga melengkapkan penguasaan pasukan The Bos Gaurus ke atas skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu yang memberi tentangan sengit.

Sebelum ini, Perak menumpaskan pasukan konglomerat itu 4-0 dalam perlawanan liga di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 27 April lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA di venue yang sama, tiga hari kemudian.

Namun, Perak mengatasi PKNP 2-1 dalam suku akhir kedua di Ipoh, tiga hari lalu, untuk mara ke separuh akhir saingan kalah mati itu.

Advertisement

Must Watch Video