Skip to main content

Bola Sepak

Buffon hargai 'anugerah terindah' beraksi dengan Ronaldo

buffon.jpg
Gianluigi Buffon berterima kasih kepada Juventus kerana menghadiahkannya "anugerah terindah" untuk beraksi dalam satu pasukan dengan Cristiano Ronaldo selepas penjaga gol itu kembali ke pangkuan kelab berkenaan.

Buffon meninggalkan Juve tahun lalu untuk beraksi selama semusim dengan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum menolak tawaran untuk kekal dalam Ligue 1.

Ia kemudian semakin jelas bahawa pemain veteran itu mahu kembali ke Turin selepas menghabiskan 17 tahun daripada kariernya dengan skuad Old Lady itu.

Pemain berusia 41 tahun itu menandatangani kontrak hingga tahun depan dan dia amat teruja untuk memanggil Ronaldo sebagai rakan sepasukannya.

"Ia amat indah," katanya ketika ditanya mengenai perasaannya untuk beraksi dengan bekas bintang Real Madrid itu.

"Pada penghujung karier saya, saya dapat bermain dengan Neymar dan (Kylian) Mbappe. Terima kasih kepada Paris Saint-Germain.

"Kini, saya akan bersama Cristiano Ronaldo, terima kasih Juventus.

"Saya fikir untuk pemain dengan pengalaman dan sejarah seperti saya, untuk menamatkan karier dengan cara seperti ini, ia merupakan anugerah terindah," katanya.

Sebelum ini, Buffon merupakan kapten Juve selepas pemergian Alessandro Del Piero pada 2012.

Selain itu, dia juga merupakan pemilik jersi nombor satu pasukan itu.

Dia kembali ditawarkan kedua-dua perkara itu oleh Giorgio Chiellini dan Wojciech Szczesny, namun Buffon menolaknya dengan penuh rendah diri sambil menegaskan kepulangannya ke Turin bukan untuk melangkaui mana-mana pemain lain.

"Saya mahu berterima kasih kepada Szczesny dan Chiellini, yang menawarkan saya jersi nombor satu dan lilitan lengan.

"Saya berada di sini untuk memberikan sumbangan sepertimana yang sentiasa saya lakukan dan bukannya untuk mengambil sesuatu daripada orang lain.

"Penjaga gol utama Juve perlu memakai jersi nombor satu dan adik saya, Giorgio, perlu menjadi kapten.

"Saya mengambil nombor 77 berdasarkan sejarah saya dan Parma.

"Itulah jersi yang membawa saya menyertai Juventus dan ia sesuatu yang memberikan inspirasi buat saya," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video