Skip to main content

Bola Sepak

Bruno Fernandes seronok kembali temui sentuhan penyudah

bruno-fernandes_1av3k078wb8n710p3gtvv2p4g7.jpg
MAN UTD 2 TOTTENHAM 0 

Bruno Fernandes menjelaskan dia tidak perlu menjadi nadi di Manchester United biarpun mengakui mendambakan lebih banyak gol lagi. 


Pemain tengah itu mencurahkan usaha menakjubkan dalam kemenangan 2-0 pasukannya menentang Tottenham, awal pagi tadi, jaringan pertamanya di Old Trafford musim ini.

Fernandes merakamkan 18 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim penuh pertamanya di United termasuk 12 bantuan jaringan, tetapi jumlah itu merosot musim lalu kepada 10 gol dan enam bantuan jaringan, lantas prestasinya turut mengundang kritikan.

Bercakap kepada Amazon Prime selepas perlawanan menentang Spurs, Fernandes mengakui dia perlu memainkan peranan besar dalam corak menyerang tetapi fokus utamanya adalah kepada hasil yang dipungut mereka. 

"Saya gusar kerana saya juga mahu menjaringkan gol. 






"Saya tidak mencetak gol saya tetapi ia bukan fokus utama saya," katanya.

“Pasukan memperoleh keputusan yang baik. Keputusan perlawanan terakhir (bertemu Newcastle United) bukanlah satu keputusan yang bagus. 

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan tetapi bagi saya, apabila pasukan menang maka ia adalah sempurna.

"Dalam aspek individu, saya mahu mencipta gol dan bantuan jaringan, memandangkan ia adalah sebahagian daripada permainan dan posisi yang saya mainkan. Jadi saya memerlukan jaringan."


 

Bekas pertahanan The Red Devils, Patrice Evra, pernah mencadangkan bahawa Fernandez mampu beraksi lebih baik dengan memegang peranan utama apabila pemain seperti Cristiano Ronaldo tidak diturunkan, tapi pemain tengah United itu menolak pandangan berkenaan. 

"Saya tidak suka frasa 'menjadi orang utama'. Saya sedar apabila beberapa pemain berada di atas padang, saya perlu menghormati posisi mereka dan saya tahu saya perlu melakukan perkara yang berbeza untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka. 

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengorbankan diri bagi mendapatkan yang terbaik daripada rakan sepasukan."
 

Advertisement

Must Watch Video